Social Icons

Ahad, 17 Ogos 2014

'Faktor Wow" Dalam UMNO - Siapa Pemimpin bertaraf 'Wow'?

Nampaknya isu UMNO perlukan idea-idea luar biasa agar parti itu diterima oleh majoriti rakyat sedang menarik respon menggalakkan. Sebenarnya 'Faktor 'wow' yang disebut Tan Sri Muhyiddin itu lebih kurang sama dengan 'Strategi Lautan Biru' yang dilancarkan Perdana Menteri. Kedua-duanya dicetuskan tentunya bertujuan memastikan program transformasi negara berjalan dengan berkesan iaitu berjaya menarik sokongan rakyat.

Ramai pihak sedang menyatakan pro-kontra masing-masing terhadap isu yang baru dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yasin ini. Di satu segi ianya menarik kerana UMNO kelihatan terbuka mahu melakukan perubahan. Dari sudut lain, idea Tan Sri Muhyidin ini kelihatan membuka ruang untuk UMNO dipertikaikan. Sila baca DI SINI
Sememangnya UMNO perlu melakukan banyak perkara untuk memenangi hati rakyat. Dengan masa hanya tinggal 3 tahun sahaja lagi untuk PRU ke-14, bolehkah UMNO mencipta keajaiban pada kali ini? Adakah sudah wujud tanda-tanda UMNO sudah diterima rakyat atau sebaliknya?

Entah apa yang berlaku kepada UMNO, sokongan rakyat masih statik. Sekurang-kurangnya inilah maksud dari kata-kata Tan Sri Muhyiddin di Kota Tinggi baru-baru ini. Ini petikannya seperti dilaporkan Utusan.com

Ditanya mengenai mengapa perkara itu perlu dilaksanakan kini, beliau berkata, banyak yang telah dibuat oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti pembangunan ekonomi dan sebagainya, tetapi seolah-olah itu tidak ada nilai yang besar dan penting kepada rakyat.

"Banyak yang telah kerajaan lakukan dari dulu sampai sekarang, mereka hanya iktiraf tetapi dilihat sebagai perkara biasa. "Walaupun kita dapat mewujudkan keadaan negara yang masih stabil dan harmoni serta mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik dan mencipta peluang pekerjaan, benda macam ini macam tenggelam dengan perkara-perkara lain," katanya.

Kata-kata Tan Sri Muhyiddin di atas membayangkan seolah-olah UMNO kelihatan seperti tidak mendapat apa-apa daripada program transformasi. Justeru pimpinan UMNO perlukan idea-idea baru yang bertaraf 'wow'. Ianya tentu idea-idea yang menakjubkan yang mampu mencipta keajaiban. Sama-samalah kita tunggu apakah idea-idea ajaib itu. 

Hari ini, Pak Lang ingin nyatakan - selama tinggal di Selangor, Pak Lang dapati UMNO tidak buat kerja. Tidak ada program yang dicetuskan secara sistematik. Kalau ada isu keluar dalam surat khabar, barulah UMNO terhegeh-hegeh menampakkan diri. Tidak ada aktiviti yang dicetuskan. Jika tidak ada aktiviti, manalah hendak didapatkan impaknya. Jadi tepatlah bilamana Tan Sri Muhyiddin mengatakan - yang dapat difahami - sokongan rakyat tidak bertambah walau berbagai usaha telah dibuat (di peringkat pusat).

Apa yang ketara, ahli akar umbi memang bersedia untuk memenangkan UMNO / BN tetapi jika mereka tidak digerakkan, tidak ada ertinya kesediaan mereka. Apatah lagi kalau mereka juga sedang 'tidur nyenyak' atau sedang keletihan atau sedang berebut rezeki. Tentu mereka tidak akan berfikir untuk memaju dan memenangkan UMNO. 

UMNO sekarang seolah-olah hanya jadi anak tiri. Tidak sepenuhnya ditatang seperti anak sendiri. Tidaklah mereka sanggup berkorban kerana nilai UMNO pada mereka hanya anak tiri. UMNO pun terbiar. Yang bercakap tentang survival UMNO hanyalah PM, TPM dan beberapa kerat pemimpin pusat yang boleh dibilang dengan jari. 

Kalau hendak tengok bukti berapa kerat pemimpin pusat yang serius mengikut hasrat PM, senang sahaja!! Cuba kita lihat berapa orang yang aktif menggerakkan media sosial atas nama dirinya. Semua orang boleh kaji dan buat nilaian sendiri. Mungkin Ketua Pemuda UMNO boleh dicontohi. Dia pro-aktif dan peka dengan hal-hal semasa yang difikirkan PM. Kalau PM aktif dengan twitternya kenapa yang lain tidak?

Apa-pun, ramai pemimpin UMNO sudah ketinggalan zaman. Mereka gagal mengikut rentak PM. Harapan ramai ialah kepada barisan pemuda dan remaja dalam UMNO. Sejauh mana usaha-usaha menggerakkan mereka, kita boleh melihatnya kalau ada. 

Usaha-usaha yang hendak dibuat mestilah bertaraf sampai dianggap satu 'fenomena'. Mungkin fenomena inilah juga 'wow'nya seperti dimaksudkan Tan Sri Muhyiddin itu. 

Tetapi menggerakkan sesuatu kerja besar memerlukan seseorang yang bertaraf pemimpin besar atau bakal pemimpin besar. Inilah yang sedang dicari-cari dalam UMNO. Lihat sahaja Selangor. Siapakah pemimpin besar UMNO Selangor yang mampu menerajui kebangkitan UMNO / BN dalam keadaan kerajaan Pakatan Rakyat sudah lenyap?

Sepatutnya waktu ini ada tokoh UMNO Selangor yang tertonjol dan diketengahkan oleh rakyat. Kenapa rakyat yang mahukannya? Kerana selama kekalahan UMNO 6 tahun ini, tokoh yang dicari-cari ini sudah muncul mendekati rakyat. Tokoh ini sepatutnya sudah dikenali di Selangor sama seperti JOKOWI di Indonesia yang merecup naik - atas gemanya mendekati rakyat. 

Malangnya UMNO tidak ada siapa-siapa di Selangor. Kalau seseorang tokoh yang menonjol yang bertaraf 'faktor  wow', maka akan adalah harapan UMNO boleh bangkit. Tokoh sebeginilah yang diharapkan. Sayang seribu kali sayang, sampai saat ini tokohnya tidak muncul. Rupa-rupanya pemimpin sebenar untuk membangkitkan kesedaran rakyat dan menerajui mereka untuk merampas Selangor tidak ada di kalangan UMNO Selangor. 

Sekarang 'permata idaman' sudah terlepas dari tangan musuh. Waktu inilah sepatutnya UMNO mengambil 'permata' tersebut tetapi UMNO tidak mampu berbuat apa-apa. Waktu ini UMNO tidak perlu merebutnya tetapi hanya perlu mengambilnya tetapi itu pun tidak mampu dibuat. Bayangkan malangnya nasib.

Dan kalaulah DUN Selangor dibubarkan, tidaklah ada tokoh UMNO BN yang benar-benar digilai rakyat bawahan. Hendakkan jawatan MB memang kegilaan semua orang politik tetapi siapa yang mahu buktikan keupayaannya terlebih dahulu. Kalau rakyat tidak kenal sesiapa pun di Selangor ini ertinya selama UMNO jatuh di Selangor, tidak ada mana-mana tokoh pun yang terbukti bertungkus lumus bekerja memperjuangkan cita-cita PM mahu merampas semula negeri terkaya ini. 

Kita kasihan melihat ahli bawahan UMNO yang masih bersemangat. Walaupun di peringkat kampung dan cawangan mereka terpaksa tunduk malu dengan JKKK PAS, semangat sebahagian mereka masih kuat. Cuma mereka tidak dipimpin untuk melakukan usaha mendekati dan membela rakyat. 

Seolah-olah semuanya menunggu. Mereka ibarat soldadu yang siap mentaati arahan tapi gerak kerjanya tidak disusun atur oleh pemimpin bahagian. Atau masing-masing sibuk mencari rezeki atau merebut peluang kekayaan di mana-mana. 

BR1M dan lain-lain adalah cetusan dari PM. Apa yang UMNO negeri, bahagian dan cawangan buat? Ahli-ahli UMNO yang susah pun tidak dibela apatah lagi untuk melihat rakyat berbilang kaum dibantu dan tolong!! Tetapi kalau PM datang melawat sesuatu kampung, barulah ketua bahagian datang menonjolkan diri dengan muka tidak tahu malu. 

Idea-idea besar yang diharapkan TPM itu tidak akan wujud dari kalangan pemimpin UMNO yang sebegini. Mereka tidak ada cita-cita menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air. Apa yang ada ialah cita-cita mengaut laba perjuangan UMNO untuk diri, keluarga mereka dan melupakan yang lain. Hidup macam enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Orang lain susah dia peduli apa?

Pak Lang bersimpati dengan PM!!

1 ulasan:

  1. Belum ada pun pemimpin umno yg WOW nk kn islam itu di depan, asyik2 bila puasa baru wow, bila raya baru nk wow itu pun utk tunjuk pd rakyat atau nk ambik gambaq je

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text