Social Icons

Ahad, 3 Ogos 2014

Kenang-kenangan Anak-Anak Felda Guar Napai

Pak Lang anak Felda Guar Napai, Jitra, Kedah. Setiap raya pasti balik jenguk keluarga. Walaupun ibubapa Pak Lang sudah kembali ke rahmatullah, Pak Lang mempunyai rangkaian keluarga yang sangat ramai. Ianya kerana asal usul datuk nenek Pak Lang dari kawasan sekitar. Perkahwinan atau persemendaan antara punca keluarga kami membesar merata-rata.

Pulang raya ertinya akan bertemu dengan mereka yang sudah lama tidak bertemu. Mungkin ada di kalangan mereka yang masih menetap di kampung atau bertemu semula dengan kawan rakan yang sama-sama merantau mencari rezeki di serata dunia. Kebanyakannya memilih bersembahyang sunat Aidil Fitri di masjid Felda ini untuk mengambil peluang bertemu satu sama lain agar dapat saling bertanya khabar dan bersilaturahim.
 
Setiap yang pulang akan membawa keluarga masing-masing. Ada yang terpaksa menyewa homestay untuk mendapatkan sedikit keselesaan. Jika rumah peninggalan orang tua masih elok dan besar - mungkin boleh menampung kehadiran anak, cucu dan menantu yang jumlahnya sudah puluhan orang. Kalau sudah sedemikian ramai, banyak perkara yang kena difikirkan. Soal makan minum pun akan timbul perselisihan apatah lagi hal-hal yang lain. 

Apa-apa pun semuanya bergantung pada hubungan antara sesama ahli keluarga terbabit. Jika hubungan rapat dan erat, mudahlah masing-masing bertolak ansur dan berlebih kurang. Kalau hubungan sudah ada masalah, maka ianya bermakna retak sedang menanti belah. Berkumpul beramai-ramai bukan lagi untuk menghirup udara kasih sayang tetapi menambah marak api benci membenci di dalam hati. Maka apa sahaja yang dibuat dipandang dengan sebelah mata walaupun ianya kebaikan yang tulus ikhlas dari hati yang suci. 

(Sebab itu Pak Lang suka mengingatkan diri Pak Lang dan kawan-kawan agar binalah hubungan kasih sayang ini sepanjang masa. Dimana jua kita berada, dekati dan ziarah menziarahilah sesama kita terutama kita yang sesama keluarga. Jangan hanya kita sahaja yang berharap orang datang berkunjung ke rumah kita sebaliknya rajin-rajinlah juga menziarahi mereka. Apa yang kita inginkan orang berbuat kepada kita dari sudut kebaikan, maka kitalah yang kena memulakannya. Apa sahaja yang kita tidak inginkan orang lakukan terhadap kita dari sudut kejahatan, maka kitalah juga yang awal-awal menjauhinya).

Pak Lang - bila ingatkan bagaimana eratnya masyarakat Felda Guar Napai berkasih sayang, mengkagumi bagaimana orang tua-tua kami menghayati kehidupan bermasyarakat yang cukup harmoni. (Sebenarnya ini juga berlaku di kalangan masyarakat luar bandar). Mereka mungkin tidak belajar sampai universiti, tetapi hati budi mereka sangat menghargai orang lain. 
 
Mereka tidak mudah berhasad dengki. Mereka mengelak dari bersangka buruk. Mereka menjauhi pertengkaran dan pergaduhan. Kalau ada sedikit pergeseran, akan ada yang memberi nasihat dan menyejukkan keadaan. Sebab itu suasana harmoni dapat dikekalkan. 
 
Kalau kenduri kendara, masing-masing akan bersungguh-sungguh turun menbantu apa sahaja yang perlu. Bahkan mereka ada 'persyarikatan kenduri' yang sangat kreatif dalam menguruskan sebarang majlis perkahwinan anak-anak mereka. Hal kenduri kendara, sakit demam atau kematian, majlis keramaian, majlis ilmu atau majlis sempena hari kebesaran Islam semuanya dithadapi bersama dan kalau perlu dilakukan secara gotong royong. 
 
Suasana ini menambah mesra dan ceria kehidupan mereka yang sekali gus mengikat hati masing-masing dengan ikatan yang luar biasa. Mereka jadi seperti adik beradik seibu sebapa keadaannya. Susah senang ditempuhi bersama.
 
Kami anak-anak Felda memanggil orang-orang tua generasi peneroka awal dengan panggilan 'bapa saudara' seperti wa, pak long, pak ngah, pak lang, pak nyang, pak ndak, pak teh, pak cik, pak su dan sebagainya. Jika kepada 'emak-emak saudara' pula tentulah ditukar kepada mak long, mak ngah dan seterusnya. 

Rapatnya hubungan mereka mempengaruhi kami yang di peringkat generasi kedua iaitu anak-anak mereka. Semasa masih kecil - bersekolah rendah dan menengah, kami ikut merasakan kasih sayang yang terjalin sesama mereka. Justeru kami juga jadi rapat dan erat sesama kami. 
 
Kami menghormati setiap orang warga yang dewasa seperti kami menghormati ibubapa kami. Kami bertolong bantu sesama kami seperti ibubapa kami bertolong bantu sesama mereka. Kami takut berbuat salah di depan mereka sama seperti kami takut berbuat salah di depan ibu bapa kami. 
 
Kami tahu kami akan dimarahi oleh siapa sahaja 'bapa saudara' atau 'emak saudara' yang ada di depan. Walaupun kami bukan anak mereka tetapi kami dilayan seperti anak sendiri. Begitu jugalah yang dilakukan  ibubapa kami terhadap kawan-kawan kami. Hasilnya kami jadi terdidik dan terpimpin. Tidak mudah hendak terjerumus dengan hal yang negatif melampau seperti dadah, judi dan sebagainya. Apa yang ditekankan sangat ialah bersungguh-sungguh belajar. Maka jadilah kami anak-anak yang serius dalam pembelajaran. Kebanyakan kami cemerlang.

Kasih sayang sesama kami membekas kuat dan padu walaupun terpisah dengan haluan belajar dan bekerja. Pak Lang tahu bila ada kawan-kawan yang sudah bekerja, mereka akan tolong mendapatkan pekerjaan bagi kawan-kawan yang lain. Mereka tidak melupakan teman sepermainan yang masih menunggu kerja sambil menoreh getah bersama ibu bapa. 

Mengenangkan ini semua, Pak Lang jadi terharu. Hebatnya jasa ibubapa kami membina sebuah komuniti yang sebegitu hebat. Pengaruh mereka  besar dalam pembentukan peribadi setiap orang dari kami. Terhadap diri Pak Lang, masih diingat dan sentiasa Pak Lang doakan kepada aruah-aruah Tuan Imam Haji Hassan Yunus, Tuan Imam Haji Ramli Taha, Tuan Haji Yunus (ayah Bang Ismail), Pak Long Haji Seman yang masih hidup dan lain-lain. Semua mereka mempunyai jasa yang tidak terhingga terhadap kami dan semua yang pernah menetap di dalamnya. Hari ini bila kami berkumpul, setiap orang akan berkata di dalam hati betapa bertuahnya kami menjadi anak-anak Felda yang unik ini.
 
Hari ini bila kami berkumpul di Aidil Fitri, kami sedar semuanya sudah menginjak usia melepasi separuh abad. Ada tanda-tanda yang jelas betapa umur sudah semakin menghampiri hujungnya.  Jika dulu, gagah bermain bola sepak dan bersukan cergas, sekarang sudah lemah dan semput-semput malah berpenyakit. 

Jika dulu cantik menawan atau tampan bergaya, sekarang, semuanya sudah berlalu. Alhamdulillah, kebanyakan yang Pak Lang temui sudah mengerjakan haji atau umrah. Ertinya masing-masing sedang menyiapkan diri bertemu dengan Allah swt. Bilakah masanya hanya Dia yang maha tahu.

Apa yang ada dalam pemikiran kami yang seusia begini? Tentulah memikirkan tentang anak isteri yang bakal ditinggalkan. Orang tua kami meninggalkan didikan kesusahan untuk kami matang menghadapi kehidupan. Manakala kami, sukar 'mensusahkan' anak-anak kami dek arus kemodenan dan suasana kehidupan masa kini. 

Semoga Allah rezekikan kehidupan beragama yang lebih bermakna di hujung usia kami. Perjalanan kami sudah lama dan telah diberi peluang dengan rezeki, umur serta segala nikmat yang tidak terhitung. Tentunya banyak dosa kami terhadapNya yang wajiblah kami menangis meminta ampun padaNya. Tentu ada banyak nikmatNya yang kami belum syukuri yang kami wajib meminta ampun juga padaNya. Bukankah kami gagal menjadi hamba yang tahu berterima kasih dengan Allah yang maha memberi dan terus memberi?
 
Kami hanya tahu menghargai dan berterima kasih kepada manusia-manusia yang 'memberi bantuan dan pertolongan' kepada kami tetapi lupa berterima kasih kepada Allah swt. Ampunkan kami ya Allah dan selamatkanlah kami, kedua ibubapa kami, datuk nenek kami, anak cucu kami serta zuriat keturunan kami, saudara mara kami, rakan-rakan dan seluruh kaum muslimin muslimat - dengan keselamatan dunia dan akhirat. 
 
Dengan berkat Rasulullah saw, ampunkanlah dosa kami, terimalah taubat kami dan pertemukanlah kami dengan orang yang boleh membantu kami untuk membawa kami sampai kepadaMu ya Allah. Akhir sekali kami mohon padaMu, pandangilah kami yang bersalah ini dalam kelembutan rahmat dan kasih sayangMU. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu wahai Zat yang maha tinggi lagi maha besar.... Amin ya Rabbal 'Alamin. 
 
(Al-Fatehah untuk semua ibubapa, datuk nenek dan mereka yang berjasa di bumi Felda Guar Napai)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text