Social Icons

Khamis, 14 Ogos 2014

Episod Penggantian MB Selangor - Keadaan Masih Belum Menentu!

Banyak yang terjadi di dalam arena politik Selangor dan ianya akan menular membesar di peringkat negara. Isunya bukan sekadar di negeri Selangor tetapi sejauh mana Pakatan Rakyat boleh bertahan sehingga PRU akan datang - 2 tahun dari sekarang. Jika kemelut politik Pakatan Rakyat sekarang ini dapat diselesaikan dengan cemerlang, tidaklah mustahil PR akan terus menguasai malah mungkin menambah undi popular rakyat nanti. 
 
Ianya ujian besar kepada Pakatan Rakyat yang sedang mabuk dengan kuasa dan pengaruh yang ada. Seboleh-bolehnya negeri Selangor mahu terus dijadikan umpan politik yang lebih baik daripada apa yang dibuat TS Khalid selama ini. Khabarnya PR tidak boleh bertangguh lagi untuk melakukan peralihan atau penggantian MB. TS Khalid wajib segera dijatuhkan untuk digantikan oleh DS Wan Azizah. Khabarnya setelah DS Wan Azizah jadi MB, barulah jalan kemenangan PRU ke 14 akan dapat kelihatan. Itupun semuanya bergelut dengan masa yang tinggal lebih kurang 24 bulan sahaja lagi.
 
Ini juga ujian berat untuk PAS. Selangor adalah medan dan gelanggang PAS yang cukup menarik. Selama PR menguasai Selangor, PAS pula menguasai pentas agama di serata ceruk negeri ini. Tidak ada surau dan masjid yang tidak ditembusi PAS. Semuanya berjaya diteroka bahkan sebahagian besarnya dapat ditukar nazir dan ahli jawatankuasanya ke tangan ahli-ahli PAS setempat. 

Tokoh-tokoh pimpinan PAS, ulama serta ustaz-ustaz PAS selesa bergelanggang di Selangor. Kuliah dan tazkirah menjadi padat. Aktiviti masjid dan surau sentiasa dimeriahkan dengan pelbagai agenda. Tidak ada halangan dan kesulitan untuk PAS menembusi setiap inci bumi Selangor. TS Khalid memberi ruang kepada PAS untuk mendekati rakyat menggunakan apa sahaja kemudahan yang ada. 

Selain itu pimpinan PAS Selangor juga memperolehi laba dilantik menganggotai anggota majlis daerah atau majlis bandaran atau majlis bandaraya. Banyak kepentingan PAS dapat dijana melalui wakil-wakil PAS di majlis-majlis berkenaan. Ini semua tidak termasuk lantikan sebagai lembaga pengarah anak-anak syarikat kerajaan negeri. Sebab itu, bukan mudah PAS mahu membuat keputusan dan menyatakan pendirian.

Keputusan yang dikehendaki dari PAS kelihatan mudah. Samada 'ya' atau 'tidak' menyokong TS Khalid. Ada pro dan kontra yang sangat cacamerba. Soalnya sekarang bagaimana PAS mengambil keputusan yang paling rendah kadar mudharatnya dan lebih tinggi manfaatnya. Ini semua tidaklah senang dan gampang. 

Ada pemerhati politik mengatakan PAS akan terpecah dua. Sepihak akan condong mengatakan 'ya' dan sepihak lagi akan kata 'tidak'. Inilah situasi yang pasti. Persoalan yang ingin dilihat, seramai mana masing-masing pihak di dalam PAS yang mengatakan 'ya' dan 'tidak' itu? Adakah akan ada satu lagi parti serpihan PAS selepas ini, kita akan lihat nanti!

Walaubagaimanapun, situasi PAS memang sulit. Keadaannya serba salah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Kelompok ulama seperti Presiden dan Mursyidul Am serta Dewan Syura PAS lebih cenderung menyokong TS Khalid sebagai MB. Adakah setelah TS Khalid sudah dipecat daripada PKR, PAS masih mahu menyokongnya sebagai MB? 
 
Kelompok profesional seperti Timbalan Presiden dan lain-lain pula lebih tegas mahu terus 'hidup mati' bersama Pakatan Rakyat. Jika keputusan bersama telah diambil menolak TS Khalid dan menggantikannya dengan DS Wan Azizah, kelompok ini sudah siap menyokong keputusan ini sejak awal lagi. Kelompok ini sedar hakikat kemenangan PAS di kebanyakan tempat adalah hasil sokongan undi Cina. Jasa DAP dari sudut ini patut dihargai. Tanpa undi Cina, PAS tidak akan ke mana. 

Jika PAS mahu berpatah arang dengan Pakatan Rakyat, ertinya PAS memungkiri janji kesepakatan atau 'tahalluf siyasi' yang mereka ijitihadkan selama ini. Dengan kata lain, PAS mahu bersendirian meraih undi dalam PRU akan datang. Mampukah PAS tanpa sokongan undi Cina daripada DAP dan tanpa semangat reformasi rakyat daripada PKR?
 
Orang yang sedar hakikat kemenangan PAS di banyak kerusi di seluruh negara - terutama di PRU 12 dan 13, akan merumuskan PAS perlu terus dengan PR. PAS tidak wajar berpatah balik untuk berebut undi orang Melayu dengan UMNO. 
 
Sekarang PAS mendapat banyak undi daripada kaum Cina. Ini merupakan satu kejayaan dan sejarah tercipta PAS berjaya meluaskan pengaruh ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Di negeri-negeri yang dikuasai PR, PAS mempunyai ruang yang cukup luas gelanggangnya.
 
Keadaan ini menyerlahkan betapa perlunya PAS kekal dengan PR. Kecuali PAS mahu bersama BN semula atau mengadakan kerjasama 'perpaduan melayu' dengan UMNO, itu cerita lain.
 
Apa pun, kita tunggu keputusan PAS pada 17 Ogos nanti. Semoga Allah lindungi negara kita dari perpecahan, pergaduhan dan ketidak-tenteraman. Allah maha menyelamatkan!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text