Social Icons

Selasa, 26 Ogos 2014

Jika Amalan Dinilai Pada Ikhlas, Apakah Amalan Yang Mudah Untuk Mendapat Keredhaan Allah?

Susahnya hendak berlaku ikhlas dalam amalan kita.

Peta Minda di atas dibuat berdasarkan Hadis Nabi SAW di bawah:

Dari Muaz, Rasulullah SAW bersabda:
“Puji syukur ke hadrat Allah AWT yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya, wahai Muaz!”

Jawabku,”Ya Sayidil Mursalin.”

Sabda Rasulullah SAW:
“Sekarang aku akan menceritakan kepadamu, bahawa apabila dihafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka tidak akan mempunyai hujah di hadapan Allah kelak.”

“Wahai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Setiap langit ada satu malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut kadarnya pintu dan keagungannya.“

Maka malaikat yang memelihara amalan si hamba akan naik ke langit membawa amal itu ke langit pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat Hafazah, ”Saya penjaga tukang umpat. Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang umpat.

Esoknya naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Dilangit kedua penjaga pintunya berkata, ”Lemparkan balik amalan ini ke muka pemilikmya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya ditahan amalan ini jangan lepas ke langit lain.”

“Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan sungguh indah. Penjaga langit berkata, ”Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong.”

Rasulullah SAW meneruskan sabdanya.
“Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi ke langit keempat.Lalu penjaga langit itu berkata, ”Lemparkan balik amalan ini ke muka empunyanya. Dia seorang yang ujub.Allah memerintahkan aku menahan amalan si ujub.”

Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain tetapi di pintu langit penjaganya berkata, ”Ini adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan kepada hambaNya. Dia tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad.”

Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata, ”Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah ini ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang lain dapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan melintasi langit ini.”

Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang dapat lepas hingga ke langit ketujuh. Rupa cahaya bagaikan kilat, suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembahyang, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain.

Tetapi penjaga pintu langit berkata, “Saya ini penjaga suma’ah (ingin masyhur). Sesungguhnya si pengamal ini ingin masyhur dalam masyarakat dan selalu ingin tinggi (ingin dimuliakan / dihormati) di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan ini jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana Allah maka itulah riak. Allah tidak akan menerima dan mengkabulkan orang-orang yang riak.”

Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan pendiam, zikir pada Allah diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah SWT.

Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah.  
 
Tetapi Firman Tuhan:
“Hafazah sekalian, pencatat amal hambaKu, Aku adalah pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas padaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui.”

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagiKu apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi.

“Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hambaKu ini menipu Aku dengan amalnya ini?” - “LaknatKu tetap padanya.”

Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat yang mengiringnya pun berkata:

“Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami sekalian bagi mereka.
Dan semua yang di langit turut berkata: ”Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat.”

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis teresak-esak dan berkata, ”Ya Rasulullah, bagaimana aku dari apa yang diceritakan ini?’

Sabda Rasulullah SAW, ”Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan.”
Muaz bertanya kembali, ”Ya, tuan ini Rasulullah sedang saya ini hanya si Muaz bin Jabal, bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?”

Bersabda Rasulullah, "Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain.”

“Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika sebelahmu ada orang lain tidak diajak berbisik. Jangan takbur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikann, jangan merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing jahanam.”

“Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Di Neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia.”

Muaz berkata,”Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”

Jawab Rasulullah SAW, ”Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihani dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text