Setiap
hari, semakin ramai yang memberi komen dan ulasan berkaitan isu MB
Selangor. Semakin ramai memberi pandangan, semakin kacau bilau jadinya.
Bongkar membongkar sesama Pakatan Rakyat menjadi semakin tidak terkawal.
Apatah lagi kalau ianya diluahkan dalam nada emosi benci, geram, marah
dan dendam. Semuanya lebih memberi impak negatif. Justeru semakin hari,
semakin terhakis kewibawaan Pakatan Rakyat.
Untuk
menenangkan keadaan, sepatutnya semua pihak yang bertelagah mesti
berhenti sejenak dari berfikir tentang isu berkaitan. Ianya boleh
mengelak membuat sebarang ulasan yang akan dipaparkan media
sehingga akhirnya keadaan menjadi bertambah kusut. Inilah cara
menangani masalah oleh mereka yang matang.
Tetapi
jika ada orang politik yang suka membuat komentar atau mengulas isu-isu
hangat, ianya lebih kepada menonjolkan diri. Ianya biasa di kalangan
orang politik peringkat rendah. Suka menangguk di air keruh walaupun
dia tahu risikonya boleh mengocak keharmonian dan sedar apa yang dibuat
itu menambah kerosakan atau mudharat.
Sebaiknya
waktu ini, dikaji dan dilihat semula apa yang pernah dibuat TS Khalid.
Mungkin banyak yang cemerlang yang telah dicetuskannya yang belum tentu
orang lain boleh melakukannya. Tetapi bila sedang marah, semua jasa baik
dilupakan. Apa yang diungkit dan dihebuhkan ialah kejahatan, kelemahan
dan kekurangan. Inilah lumrah manusia biasa-biasa.
Ibarat
pasangan baru berkahwin, semuanya indah dan bahagia. Tetapi setelah
lama, jemu pun datang. Ini kerana masa yang lama menjadikan terserlah
kelemahan dan kekurangan yang sememangnya wujud pada setiap insan. Maka
ketika itu, jika tidak matang memahami situasi ini, rasa meluat lebih
menguasai diri berbanding rasa sayang dan menghargai.
Semakin
lama cuba dipertahankan tidak akan mampu kerana di dalam diri lebih
melihat kelemahan. Maka yang lemah itulah yang dipandang besar. Apa yang
baik dilupakan sama sekali. Orang yang sebegini, tidak akan boleh
berkawan sampai ke akhir nyawa. Mereka hanya boleh susah di waktu ada
kepentingannya sahaja.
Waktu
susah dan memerlukan tolak ansur - sedangkan di situ sudah tidak ada
kepentingan diri, dia akan lari. Dia hanya mahu orang lain berlapang
dada dengan kelemahannya tetapi dia sendiri tidak boleh menerima
kelemahan orang. Dunia tidak akan aman jika dipenuhi manusia jelek
sebegini.
Jadi waktu ini, mungkin sesuai untuk direnung semula apa jasa dan kelebihan Tan Sri Khalid. Dan renungkan juga kenapa rakyat Selangor rasa bangga mendapat seorang MB seperti beliau. Rakyat tahu TS Khalid 'komited' untuk membela rakyat - sama seperti gagasan Pakatan Rakyat yang berjaya dibuktikannya selama lebih 5 tahun menerajui negeri terkaya di Malaysia.
Rakyat Selangor yakin, TS Khalid tidak rasuah dan tidak 'double-standart'. Adapun isu pinjaman TS Khalid memang diketahui pimpinan PR sejak lama dan hanya sekarang digembar-gemburkan. Tujuannya untuk membina persepsi negatif rakyat terhadap batang tubuh MB yang disayangi rakyat ini. Buruklah perangai sebegini kerana hanya orang yang buruk perangai sahaja yang suka memburuk-burukkan orang lain.
Seperti mana yang blog ini perkatakan sebelum ini, tidaklah mudah menjatuhkan Khalid Ibrahim. Hakikatnya Anwar Ibrahim dan Khalid Ibrahim sedang bertarung sekarang. mungkin inilah yang dikatakan bertemu buku dan ruas. Selama ini Anwar digambarkan hebat dan licik. Nah! sekarang kita akan tengok siapa yang akan kena makan!
Sebab itu dalam menilai seseorang, janganlah mengikut apa yang dipandang nafsu. Letaklah nilai seseorang itu pada wajah manusiawinya. Hakikatnya tentu kita juga akan terpaksa melihat manusiawi yang ada pada diri kita. Dalam membuat keputusan ambil kira perasaan orang lain. Jangan hanya semata-mata mahu melakukannya atas alasan undang-undang dan peraturan.
Peraturan menukar MB yang sudah tidak mendapat sokongan majoriti ADUN memang ada tetapi unsur manusiawinya mahu diletak di mana? TS Khalid adalah manusia - sama seperti DS Wan Azizah. Sultan Selangor juga manusia - sama seperti Anwar Ibrahim. Peraturan tidak ada perasaan. Peraturan boleh dipaksakan kepada siapa sahaja tetapi siapa sahaja yang bernama manusia akan ada fikiran, perasaan dan pertimbangan kejiwaan.
Kalau TS Khalid sudah terasa hati - dia cerdik dan pintar, maka dia boleh buat apa sahaja. Apatah lagi dalam isu perlucutan keahliannya, beliau ada hujjah tidak diberi keadilan sewajarnya. dan dia ada hak menuntut keadilan tersebut - sama seperti manusia bernama Anwar Ibrahim menjerit satu dunia meminta diberikan 'keadilan' padanya!! TS Khalid menuntut keadilan kerana dia manusia, sama seperti apa yang dibuat Anwar Ibrahim.
Kalau TS Khalid sudah terasa hati, apatah lagi Sultan Selangor. Baginda tentu murka dan berdukacita kerana orang mudah-mudah masuk campur urusan Baginda. Walaupun urusan memilih MB adalah urusan anggota dewan yang majoriti tetapi syarat utama yang pasti ialah perlu mendapat restu Sultan. Hakikat yang tidak dapat ditolak ialah Sultan dan MB perlu beriringan dalam memerintah dan mentadbir negeri.
Inilah 'peraturan manusiawi' yang Anwar Ibrahim sedang berusaha melanggarnya. Orang kata Anwar Ibrahim tidak pernah ada Sultan, mana tahu 'bertata-keromo' dengan raja-raja Melayu!!
Semua orang tahu, tidak ada lantikan MB melainkan atas persetujuan Sultan. Semua negeri yang mempunyai sultan telah pernah berlaku isu yang serupa. Buatlah macamana pun, restu Sultan akan ada 'daulatnya', Merempuh kuasa Sultan, malang berpuakalah padahnya!!
Untuk negeri Selangor, tidak ada ruang Pakatan Rakyat memaksa Sultan Selangor menjatuhkan MB yang disayanginya itu. Tanpa Sultan pedulikan kehendak majoriti ADUN, apa PR boleh buat untuk memaksa Sultan? Jika Sultan bertitah agar pentadbiran kerajaan negeri dijalankan terus oleh TS Khalid selaku MB yang Baginda restui, apakah 'Langkah' yang boleh dibuat oleh Anwar Ibrahim. "langkah Kajang pun belum lepas, inikan pula 'Langkah Selangor'!!
Adakah Pakatan Rakyat - atas nama undang-undang dan peraturan, mahu menyaman Sultan Selangor? Apa pun, percayalah, di sinilah nanti, terjadinya 'tulang ikan' terlekat di kerongkongan Anwar Ibrahim. Hendak dikeluarkan tidak boleh, hendak ditelan tidak mungkin. Pedih dan sakitnya akan menjadi sejarah untuk Pakatan Rakyat.
0 ulasan:
Catat Ulasan