Social Icons

Jumaat, 22 Ogos 2014

Jauhi Cinta Dunia, Kezaliman Dan Kebakhilan

Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, 
“Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka."

Huraian Hadith:
Besarnya dosa zalim kerana ianya menimpakan kejahatan ke atas orang lain. Setiap muslim terpelihara kejahatan dan keburukan secara lahir dan batin dari muslim yang lain bahkan umat islam diminta untuk berkasih sayang, bertolong bantu, bersatu padu dan saling mengorbankan kepentingan diri demi kebahagiaan orang lain. Intipati ajaran Rasulullah saw ini menjadi sistem hidup para sahabat dan salafussoleh. Kezaliman adalah suatu yang bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasul. Pelaku zalim akan dikenakan azab seksa yang berat di akhirat.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: 
“Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya;bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal salih, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal salih, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.”

Jauhilah sifat bakhil kerana bakhil itu membawa kepada hidup nafsi-nafsi, sombong dan sanggup membiarkan kesusahan terjadi di depan mata tanpa mahu untuk menolong. Bakhil adalah punca kemusnahan masyarakat Islam. Darinya akan berlaku permusuhan dan pertelingkahan yang akan merosakkan sistem hidup bermasyarakat seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. 
 
Rasulullah SAW memberi ingat kepada umatnya supaya mengeluarkan sedekah dan membelanjakan ke jalan yang halal. Tamak kepada dunia dan kedekut dengan apa yang dimiliki sentiasa mendorong manusia berhasad dengki yang membawa perpecahan. Cintakan dunia akan menjadikan manusia tidak sanggup bersusah payah demi membahagiakan orang lain. Jika ini berlaku, tiadalah lagi keharmonian. Yang tinggal hanyalah individu yang saling curiga mencurigai, saling dengki mendengki dan saling menyangka buruk antara satu sama lain. 
 
Siapa yang berupaya melepasi cinta dunia, kedekut, bakhil dan zalim adalah mereka yang terpilih mendapat keampunan dan kasih sayang dari Allah!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text