Social Icons

Rabu, 20 Ogos 2014

Surah Al-Quran Yang Menginsafkan Ramai Wanita

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
24-1: (Ini adalah) satu surat yang Kami (Allah) turunkan dan Kami (Allah) wajibkan (mematuhi)nya, dan Kami (Allah) turunkan dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu mengingatinya.

24-2: Perempuan yang berina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali deraan, dan janganlah belas kasihan kamu kepada kedua-duanya (mempengaruhi kamu) dalam al-din (agama) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman.

24-3: Laki-laki penzina tidak mengahwini melainkan perempuan penzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan penzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki penzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang Mukmin.

24-4: Dan orang yang menuduh wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali deraan, dan janganlah diterima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik. 

24-5: Kecuali orang yang bertaubat sesudah itu, dan memperbaiki, maka sesungguhnya Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).

24-6: Dan orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali kesaksian (bersumpah) dengan (nama) Allah, bahawa sesungguhnya dia termasuk orang yang benar.
 
24-7: Dan (sumpah) yang kelima: Bahawa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang yang berdusta.
 
24-8: Dan isterinya itu dihindarkan daripada hukuman, jika dia (isterinya itu) menyaksikan (bersumpah) empat kali dengan (nama) Allah sesungguhnya suaminya itu termasuk orang yang dusta.
 
24-9: Dan (sumpah) yang kelima: Bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang yang benar.
 
24-10: Dan sekiranya bukan (kerana) kurnia Allah atas kamu serta rahmat-Nya (Allah), (tentu kamu mengalami kesulitan), dan sesungguhnya Allah adalah al-Tawwab (Penerima Taubat), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).

24-11: Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengiranya buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu. Setiap seseorang daripada mereka (mendapat balasan) dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar, baginya azab yang besar.
 
24-12: Mengapa tatkala mendengar berita bohong itu orang Mukminin dan Mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata."
 
24-13: Mengapa mereka tidak mendatangkan empat orang saksi atasnya (berita bohong itu)? Jika mereka tidak mendatangkan saksi-saksi, maka mereka itu pada sisi Allah adalah orang yang dusta.
 
24-14: Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya (Allah) kepada kamu di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana apa (berita bohong) yang kamu sebarkan itu.
 
24-15: (Ingatlah) ketika kamu menerimanya (berita bohong itu) dari mulut ke mulut, dan kamu katakan dengan mulut kamu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja, padahal ia pada sisi Allah adalah besar.
 
24-16: Dan mengapa kamu tidak berkata, tatkala mendengarnya (berita bohong itu): "Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Subhanaka (Maha Suci Engkau/Allah)! Ini adalah dusta yang besar."
 
24-17: Allah memperingatkan kamu, (agar jangan) kamu mengulangi yang demikian selama-lamanya, jika kamu adalah orang yang beriman.
 
24-18: Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (Allah) kepada kamu. Dan Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).

24-19: Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) yang keji itu tersebar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
 
24-20: Dan sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya (Allah) atas kamu, (nescaya kamu ditimpa azab). Dan Allah adalah al-Rauf (Maha Penyantun), dan al-Rahim (Maha Mengasihani).
 
24-21: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Dan sesiapa mengikuti langkah syaitan, maka sesungguhnya ia (syaitan itu) menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya (Allah) kepada kamu, nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih (daripada yang keji dan mungkar) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya (Allah). Dan Allah adalah al-Sami’ (Maha Mendengar), lagi al-‘Alim (Maha Mengetahui).
 
24-22: Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang yang miskin dan orang yang berhijrah pada jalan Allah, tetapi hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampuni kamu? Dan Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).
 
24-23: Sesungguhnya orang yang menuduh wanita yang baik-baik, yang jujur lagi beriman (berbuat zina), mereka dilaknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar.
 
24-24: Pada hari lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.
 
24-25: Pada hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang sebenar-benarnya, dan tahulah mereka bahawa Allah adalah al-Haq (Yang Benar), yang menjelaskan.

24-26: Wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita yang keji (pula), dan wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih daripada apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka keampunan dan rezeki yang mulia.
 
24-27: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, agar kamu ingat.
 
24-28: Jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: "Kembalilah," maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagi kamu, dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
 
24-29: Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu. Dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.

24-30: Katakanlah kepada orang Mukminin: "Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah adalah al-Khabir (Maha Mengerti) akan apa yang mereka perbuat."
 
24-31: Katakanlah kepada orang Mukminat: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang zahir sahaja. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak suami mereka (anak tiri), atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau anak-anak saudara laki-laki mereka, atau anak-anak saudara perempuan mereka, atau sesama wanita, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka tersembunyi. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu beruntung.

24-32: Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba kamu yang lelaki dan hamba-hamba kamu yang perempuan. Jika mereka fakir, Allah akan memberikan kemampuan kepada mereka dengan kurnia-Nya (Allah). Dan Allah adalah al-Wasi’ (Maha Luas), lagi al-‘Alim (Maha Mengetahui).
 
24-33: Dan orang yang belum mampu berkahwin, hendaklah menjaga kehormatannya, sehingga Allah memberikannya kemampuan dengan kurnia-Nya (Allah). Dan hamba-hamba yang kamu miliki yang menginginkan perjanjian, hendaklah kamu membuat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan bagi mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang dikurniakan-Nya (Allah) kepada kamu. Dan janganlah kamu memaksa hamba-hamba wanita kamu untuk melakukan pelacuran, sedangkan mereka sendiri mengingini kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah (terhadap mereka), lantaran paksaan ke atas mereka itu, adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).
 
24-34: Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penerangan, dan contoh-contoh daripada orang yang terdahulu sebelum kamu, dan pelajaran bagi orang yang bertakwa.

24-35: Allah adalah cahaya bagi langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya (Allah), adalah seperti sebuah “mishkah” (lubang pada dinding yang tidak tembus), yang di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam kaca, (dan) kaca itu seakan-akan bintang yang berkilauan (seperti mutiara), yang dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang “mubarak” (banyak berkatnya), (iaitu) pohon zaytun yang tumbuh bukan di sebelah timur dan bukan pula di sebelah barat, yang minyaknya (sahaja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya (Allah) sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah terhadap segala sesuatu adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui).
 
24-36: Di dalam rumah-rumah, yang Allah mengizinkan untuk ditinggikan dan disebut-sebutkan nama-Nya (Allah) di dalamnya. Bertasbih kepada-Nya (kepada Allah) di dalamnya (rumah-rumah itu), pada waktu pagi dan petang.
 
24-37: Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli daripada mengingati Allah, dan mendirikan solat, dan menunaikan zakat. Mereka takut kepada hari yang (pada hari itu) bergoncang hati dan penglihatan.
 
24-38: Supaya Allah memberikan balasan kepada mereka, lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Dia (Allah) menambahkan kurnia-Nya (Allah) kepada mereka. Dan Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (Allah) tanpa perhitungan.

24-39: Dan orang yang kafir, amal-amal mereka adalah laksana “sarab” (fatamorgana) di padang pasir, yang disangka air oleh orang yang dahaga, tetapi apabila dia mendatanginya, dia tidak mendapatkan sesuatu apa pun. Dan dia mendapati Allah di sisinya, lalu Dia (Allah) menyempurnakan perhitungannya, dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya (Allah).
 
24-40: Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gelita yang tindih-bertindih, sehingga apabila dia mengeluarkan tangannya, sukarlah dia melihatnya. Dan sesiapa yang tidak diberikan cahaya oleh Allah, tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.
 
24-41: Tidakkah kamu mengetahui bahawasanya Allah itu, bertasbih kepada-Nya (kepada Allah) apa yang di langit dan di bumi, dan (juga) burung-burung yang (terbang) berbondong-bondong. Masing-masing sungguh telah mengetahui solatnya dan tasbihnya, dan Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui) akan apa yang mereka kerjakan.
 
24-42: Dan kepunyaan Allah jualah kerajaan langit dan bumi, dan kepada Allah jualah semuanya kembali.
 
24-43: Tidakkah kamu melihat bahawa Allah menggerak-gerakkan awan, kemudian dikumpulkan-Nya (Allah) antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian Dia (Allah) menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar daripada celah-celahnya. Dan Dia (Allah) menurunkan dari langit, daripada gunung, yang di dalamnya (terdapat) salji (ais), maka ditimpakan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (Allah) dan dipalingkan-Nya (Allah) daripada siapa yang dikehendaki-Nya (Allah). Hampir-hampir pancarannya yang berkilauan menghilangkan penglihatan.
 
24-44: Dipergilirkan Allah akan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat pelajaran bagi “ulil-absar” (orang yang kuat renungannya).
 
24-45: Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan daripada air. Maka sebahagiannya ada yang berjalan di atas perutnya, dan sebahagian (yang lain) berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian (yang lain lagi) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya (Allah). Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu adalah al-Qadir (Maha Kuasa).
 
24-46: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan. Dan Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (Allah) kepada jalan yang lurus.

24-47: Dan mereka berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan rasul, dan kami mentaati." Kemudian sebahagian daripada mereka berpaling sesudah itu, bukanlah mereka itu orang yang beriman.
 
24-48: Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah), agar dia (rasul) menghukum (mengadili) antara mereka, tiba-tiba sebahagian daripada mereka menolak.
 
24-49: Tetapi jika (keputusan) itu benar (menguntungkan) bagi mereka, mereka datang kepadanya (rasul) dengan patuh.
 
24-50: Apakah dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu-ragu, atau mereka takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku tidak adil kepada mereka? Sebenarnya, mereka itulah orang yang zalim.
 
24-51: Sesungguhnya jawapan orang Mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah), agar (rasul) menghukum (mengadili) antara mereka ialah ucapan: "Sami’na wa atha’na (kami mendengar dan kami taat)." Dan mereka itulah orang yang beruntung.
 
24-52: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah), dan takut kepada Allah serta bertakwa kepada-Nya (kepada Allah), maka mereka adalah orang yang mendapat kemenangan.
 
24-53: Dan mereka bersumpah dengan nama Allah sekuat-kuat sumpah, bahawa jika engkau menyuruh mereka keluar (berperang), pastilah mereka akan pergi. Katakanlah: "Janganlah kamu bersumpah. (Benar atau tidak) ketaatan (kamu) dikenal (diketahui). Sesungguhnya Allah adalah al-Khabir (Maha Mengerti) apa yang kamu kerjakan."
 
24-54: Katakanlah: "Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul.” Dan jika kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu adalah semata-mata apa yang dibebankan kepada kamu. Dan jika kamu taat kepadanya (rasul), nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajipan rasul itu melainkan menyampaikan sejelas-jelasnya.

24-55: Dan Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal yang salih, bahawa Dia (Allah) sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana telah berkuasa orang yang sebelum mereka, dan sungguh Dia (Allah) akan meneguhkan bagi mereka al-din (agama) yang telah diredai-Nya (Allah) untuk mereka. Dan Dia (Allah) benar-benar akan menukarkan (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. (Kerana) mereka tetap mengabdikan diri kepada-Ku (Allah dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku (Allah). Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah itu, maka mereka itulah orang yang fasik.
 
24-56: Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat.
 
24-57: Janganlah kamu menyangka bahawa orang yang kafir itu dapat melemahkan (iaitu menguasai keadaan) di bumi ini, sedang tempat tinggal mereka adalah neraka. Dan sungguh amat jeleklah tempat kembali itu.

24-58: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah meminta izin kepada kamu hamba sahaya (lelaki dan wanita) yang dimiliki oleh tangan kanan kamu, dan orang yang belum sampai mimpi (baligh) antara kamu, tiga kali (waktu) iaitu: sebelum solat fajar, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar) kamu (di tengah hari), dan sesudah solat Isya'. (Itulah) tiga (masa) aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atas kamu dan tidak (pula) atas mereka selain daripada (tiga waktu) itu, kerana mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) atas sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat (peraturan) bagi kamu. Dan Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).
 
24-59: Dan apabila anak-anak kamu telah sampai bermimpi (baligh), maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (Allah) kepada kamu. Dan Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).
 
24-60: Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (daripada haid dan mengandung) yang tidak ingin berkahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasannya, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah adalah al-Sami’ (Maha Mendengar, lagi al-‘Alim (Maha Mengetahui).
 
24-61: Tidak ada halangan bagi orang buta, tidak (pula) bagi orang pincang, tidak (pula) bagi orang sakit, dan tidak (pula) bagi diri kamu sendiri, untuk makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa-bapa kamu dan di rumah ibu-ibu kamu, atau di rumah saudara-saudara kamu yang laki-laki, atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah saudara bapa kamu yang laki-laki, atau di rumah saudara bapa kamu yang perempuan, atau di rumah saudara ibu kamu yang laki-laki, atau di rumah saudara ibu kamu yang perempuan, atau di rumah yang kamu miliki kuncinya, atau di rumah kawan-kawanmu. Tidak ada halangan bagi kamu makan bersama-sama mereka atau sendirian. Maka apabila kamu memasuki rumah-rumah, ucapkanlah salam kepada diri kamu, sebagai anugerah penghormatan daripada sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu, agar kamu memahaminya. 
24-62: Sesungguhnya yang sebenar-benar Mukmin ialah orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah), dan apabila mereka berada bersama-samanya (Rasulullah saw) dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang yang meminta izin kepada engkau (Muhammad saw), mereka itulah orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah). Maka apabila mereka meminta izin kepada engkau kerana sesuatu keperluan, berikanlah keizinan kepada siapa yang engkau kehendaki antara mereka, dan mohonkanlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).
 
24-63: Janganlah kamu jadikan panggilan rasul antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beransur-ansur pergi antara kamu dengan sembunyi-sembunyi. Maka hendaklah orang yang menyalahi ketentuan rasul itu takut akan ditimpakan kepada mereka ujian atau ditimpakan azab yang pedih.
 
24-64: Ketahuilah sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia (Allah) mengetahui (keadaan) yang kamu berada di dalamnya dan hari (manusia) dikembalikan kepada-Nya (kepada Allah), lalu diterangkan-Nya (Allah) kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Dan Allah terhadap segala sesuatu adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text