Social Icons

Jumaat, 22 Ogos 2014

Bersangka Baiklah Dengan Sultan

Apa yang Pak Lang nyatakan dalam paparan sebelum ini mengenai isu calon MB Selangor adalah senada seperti diperkatakan dalam banyak blog lainnya. Semuanya memberi respon negatif terhadap ramainya pimpinan di kalangan Pakatan Rakyat yang memperkatakan isu ini yang tambah memburukkan suasana. Bacalah seterusnya apa yang dipaparkan saudara Shahbudin dalam blog beliau:
(Dari Blog Shahbudin):
Bersangka Baiklah Dengan Sultan 
Apabila PR akhirnya mencapai konsensus berhubung pengganti Menteri Besar Selangor pada 17 Ogos lalu, sepatutnya semuanya sudah berakhir dan tidak perlu ada sosek-sosek lain lagi berhubung isu itu. Apatah lagi Sultan Selangor sendiri sudah memendekkan pemergiannya ke keluar negara dan akan pulang ke tanahair pada 23 Ogos, semua pihak sepatutnya menunggu saja keputusan dan kebijaksanaan baginda dalam menyelesaikan kemelut ini.

Sama ada Sultan akan menerima Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru, menolaknya, mahukan nama lain atau bersetuju dengan pembubaran DUN yang mungkin dicadangkan oleh Khalid, tunggu dan berserah sajalah kerana undang-undang negeri sudah memperuntukkan demikian. Kita sendiri pula sudah menerima sistem sedemikian.

Tetapi nampaknya tidak demikian yang berlaku. Baik sebelum kata sepakat dapat dicapai mahupun selepas bersalam dan berjabat tangan, bukan saja perbezaan pendapat turut terserlah, malah terdapat juga percubaan untuk mempengaruhi Sultan Selangor berhubung keputusan yang bakal dimuktamadkan oleh baginda.

Bermula dengan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang berkeras bahawa hanya satu nama iaitu Dr Wan Azizah yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan seolah-olah cuba memaksa baginda menerima pilihan itu, ia kemudian berjangkit pula kepada Pas sendiri apabila Ketua Pemudanya, Suhaizan Kayat mempertahankan keputusan partinya mencalonkan nama Azmin Ali sebagai pilihan kedua adalah kerana Sultan Selangor sendiri kononnya yang mahukan lebih daripada satu nama dicalonkan.

Apa yang selama ini menjadi rahsia juga akhirnya terdedah bilamana Suhaizan juga mendedahkan bahawa perkara itu diperbincangkan antara Sultan Selangor yang menerima mengadap Presiden Pas, Haji Hadi Awang pada Hari Raya keempat yang lalu.

Pendedahan Suhaizan yang cuba meletakkan pendirian partinya seolah-olah atas kehendak Sultan Selangor, akhirnya memaksa pihak Haji Hadi sendiri tampil menafikan perkara itu sambil menjelaskan isu pengganti Khalid tiada sama-sekali dalam perbincangan antara Sultan Selangor dengan Haji Hadi.

Barangkali atas rasa terlanjur, Suhaizan pula kemudiannya mengatakan kenyataannya telah disalah lapor oleh media.

Dalam Kongres PKR yang melibatkan sayap Pemuda dan Wanitanya hari ini, isu pengganti Khalid sekali lagi menjadi bualan. Selain Shamsul Iskandar yang cuba menyalahkan Haji Hadi atas kemelut ini kerana tidak hadir mesyuarat PR tetapi kemudian berpendirian lain pula, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin sekali lagi mempertahankan Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar yang layak dan sesuai.

Katanya, sebagaimaha yang sudah diputuskan, hanya nama Dr Wan Azizah yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan nama lain hanya akan dicadangkan jika sudah terbukti baginda menolak Presiden PKR itu.

Nurul Izzah pula hari ini tampil dengan sidang akhbar mempertahankan kelayakan dan kewibawaan ibunya sebagai Menteri Besar Selangor dengan mengambil kira pengalaman yang diraihnya ketika memimpin PKR sejak awal penubuhannya sebaik bapanya, Anwar Ibrahim dipecat dan disumbat dalam penjara.

Beberapa pemimpin PKR lain yang mempertahankan Dr Wan Azizah dalam konteks kedudukannya sebagai seorang wanita melalui berbagai-bagai hujah dan logik juga kian bertambah, bagaikan mereka semua itu begitu bimbang Sultan Selangor akan menolaknya atas faktor gender.

Ahli jawatankuasa Pas, Khalid Samad pula secara tiba-tiba menonjolkan pendapat warga internet yang berpendapat Sultan Selangor tidak seharusnya mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan Menteri Besar kerana sistem yang diamalkan ialah Raja Berperlembagaan dan bukannya Raja Mutlak.

Sebenarnya banyak lagi pemimpin daripada PR terutama PKR dan Pas yang terus-terusan bercakap mengenai isu Menteri Besar ini disebalik sudah mendapat kata sepakat siapa calon yang mahu ditonjolkan dan hanya menunggu Sultan Selangor saja membuat keputusan.

Kenapakah mereka ini tidak sabar dan kalut?

Semua ini sebenarnya memburukkan lagi keadaan dan seolah-olah tidak yakin dengan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat keputusan yang terbaik. Memandangkan bahawa kita sudah menerima-pakai dan mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan ini sejak dulu lagi, maka kita seharusnya menerima dan sentiasa berlapang dada dengannya.

Jangan terlalu menonjolkan kegopohan, ketidaksabaran, ketidakmatangan serta ketidakfahaman dengan sistem yang ada.

Kita seharusnya yakin bahawa walaupun kata putus perlantikan Menteri Besar adalah ditangan Sultan Selangor, tetapi baginda akan bertindak berdasarkan tafsiran undang-undang yang akan diberikan oleh pelbagai pihak, terutamanya Penasihat Undang-undang Negeri.

Apa-apa keputusan Sultan Selangor nanti bukan saja tertakluk kepada tafsiran undang-undang tetapi juga tentunya mengambil kira banyak faktor lain seperti keharmonian, keamanan dan masa depan negeri itu.

Sama ada baginda akan memperkenankan nama Dr Wan Azizah, menolaknya, mahukan nama lain, membubarkan DUN atau apa saja, semua pihak seharusnya tunggu dan bersabar. Tidak perlulah begitu kalut, kecoh dan terus membiarkan mulut berkata-kata sedangkan Sultan Selangor belum pun membuat apa-apa keputusan lagi. Bahkan baginda juga belum pun pulang ke tanahair pun lagi.

Janganlah sesiapa mendahului Sultan atau cuba mempengaruhi baginda dalam membuat keputusan. Yang tidak kurang pentingnya ialah sentiasalah bersangka baik serta jangan sesekali bersangka jahat dengan apa juga keputusan yang bakal baginda putuskan nanti.

Jika kita melakukannya juga, bermakna kitalah yang mencemarkan sistem Raja Berperlembagaan ini.
KREDIT UNTUK BLOG SHAHBUDIN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text