[The Malaysian insider] Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad yang menyertai Umno suatu ketika dahlu hari ini mengeluarkan kenyataan mengejutkan melalui Facebooknya, "Saya bukan Umno lagi".
"Mengapa saya harus keluar dari Umno? Saya menyertai Umno untuk perjuangan bagi menegakkan agama, memartabatkan bangsa dan negara.
"Perjuangan itu sudah tiada lagi dalam Umno kini. Tidak wajar lagi saya berada dalam parti yang sudah korup perjuangannya. Saya bukan Umno lagi," tulis Nakhaie dalam posting itu.
Penyataan Nakhaie dibuat sehari selepas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah tidak lagi bersama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Nakhaie meninggalkan jawatannya sebagai naib presiden PAS dan menyertai Umno pada 1989 sebelum pilihan raya umum Malaysia 1990 selepas berbeza pendapat dengan presiden PAS ketika itu, Yusof Rawa.
Sebelum itu, beliau lari meninggalkan negara ekoran Operasi Lalang yang membawa kepada tangkapan besar-besaran terhadap pemimpin pembangkang.
Ketika di dalam PAS, beliau adalah individu bertanggungjawab menubuhkan Harakah yang sehingga kini menjadi media rasmi PAS. Nakhaie juga menubuhkan Chiness Consultative Council (CCC) untuk dijadikan jambatan antara orang Cina dan PAS pada 1982.
PAS kehilangan pemikir besarnya apabila Nakhaie meninggalkan PAS diambang PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah memenangi semula Kelantan pada 1990. – 21 Ogos, 2014.
0 ulasan:
Catat Ulasan