Social Icons

Rabu, 20 Ogos 2014

Bolehkah DUN Selangor Dibubar?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Ingin bubar DUN Selangor ? Baca ini dahulu

Ramai yang bertanya saya tentang soalan di atas. Saya menjawab DUN Selangor boleh dibubarkan dan juga tidak boleh dibubarkan bergantung bila Dun itu ingin dibubarkan. Ulasan saya dalam kolum ini hanya semata mata dari persepektif undang undang dan amalan demokrasi berparlimen ala wesminster.

Mengapa saya kata boleh dibubar Dun Selangor dan mengapa saya kaitkan dengan masa ? Pada hemat saya Dun Selangor boleh dibubarkan selepas Tan Sri Khalid Ibrahim ( TSKI ) dipecat dari bekas partinya, PKR sehingga tempoh sebelum dua orang Adun dari Pas iaitu Adun Hulu Kelang dan Adun Morib menyatakan secara terbuka bahawa mereka menyokong Datin Sri Wan Azizah Wan Arifin ( WAWI ) sebagai Menteri Besar Selangor bersama sama 28 orang Adun lain dari DAP dan PKR.

Dalam tempoh masa yang saya nyatakan tersebut keadaan Kerajaan Selangor amat tidak menentu di mana wujudnya seorang MB iaitu TSKI yang tidak berparti dan juga tidak mendapat sokongan majoriti di dalam DUN Selangor . Dalam masa yang sama juga tidak juga wujud mana mana calon dari mana mana parti politik di DUN Selangor yang mendapat sokongan majoriti adun-adun untuk ditabalkan menjadi MB Selangor yang baru menggantikan TSKI.

Di atas senario yang saya nyatakan itu bagi saya jika Y.M Sultan Selangor diandaikan memperkenankan permintaan dari TSKI, jika ada permintaan tersebut dibuat, untuk DUN Selangor dibubar ia bukanlah suatu yang salah di sisi undang undang dan Perlembagaan Negeri Selangor kerana jelas wujudnya keadaan yang tidak menentu tentang status Kerajaan Selangor yang memang mewajarkan pembubaran DUN Selangor. Dan jika itu berlaku bagi saya ia bukan salah Y.M Sultan sebaliknya salah Pakatan Rakyat kerana mereka gagal mencapai satu persetujuan atau konsensus dengan kadar segera bagi mencalonkan calon yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi MB Selangor menggantikan TSKI.

Sebenarnya ramai penganalisa politik dan undang undang merasa hairan mengapakah dalam keadaan TSKI telah dipecat dari partinya Pakatan Rakyat gagal mencapai kata sepakat untuk melantik calon pengganti TSKI sekaligus meletakkan sebuah Kerajaan yang asalnya diperintah oleh Pakatan dengan kekuatan dua pertiga majoriti tiba tiba berisiko tinggi untuk dibubarkan begitu sahaja. Dan jika itu berlaku Pakatan hanya berhak menyalahkan dirinya sendiri .

Dalam hal ini nampaknya tindakan dua orang Adun Pas yang menyokong WAWI sebagai calon MB meskipun tidak digemari oleh orang orang Pas sendiri dan malahan ada yang melabelkan mereka sebagai pengkhianat, sedikit sebanyak membantu Pakatan keluar dari keadaan tidak menentu yang mewajarkan Y.M Sultan untuk membubarkan DUN Selangor. Mungkin dua Adun Pas itu yang mungkin dihakimi sebagai pengkhianat parti pada masa ini tidak mustahil akan pula dinobatkan sebagai hero atau wira oleh generasi akan datang ?

Apabila dua Adun itu dilaporkan menggunakan keputusan muktamar Pas yang telah bersetuju mempertahankan Pakatan Rakyat sebagai justifikasi tindakan mereka , agak sukar juga untuk menyalahkan mereka begitu sahaja kerana ramai juga yang boleh menerima hujah mereka bahawa apa yang mereka lakukan adalah dalam kerangka ingin mempertahankan Pakatan sebagai mana yang dikehendaki oleh Muktamar Pas.

Itu senario sebelum 2 Adun Pas itu menyokong WAWI. Bagi saya selepas dua Adun Pas itu menyokong WAWI sebagai calon MB Selangor ditambah pula dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang bersetuju WAWI sebagai calon tunggal yang akan dibawa kepada Sultan untuk diperkenankan sebagai MB baru Selangor isu pembubaran DUN Selangor tidak timbul lagi.

Dari perpesktif undang undang dan Perlembagaan Negeri Selangor, Sultan tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan WAWI sebagai MB Selangor kerana secara jelas beliau kini mendapat sokongan dua pertiga ahli dewan untuk ditabalkan sebagai MB Selangor yang baru.

Memandangkan negara kita mengamalkan doktrin Raja Berperlembagaan adalah jelas Y.M Sultan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menolak cadangan WAWI sebagai MB Selangor kerana Raja Berperlembagaan hanya dibenarkan melaksanakan kuasanya di dalam kerangka perlembagaan.

Dalam kerangka Perlembagaan satu satunya faktor yang mengekang Y.M Sultan dari memperkenankan permintaan atan cadangan Pakatan untuk melantik WAWI menjadi MB adalah sekiranya beliau tidak mendapat sokongan majoriti. Apabila WAWI jelas telah mendapat sokongan majoriti ahli dewan maka kekangan itu tidak wujud lagi sekaligus Y.M Sultan, dengan penuh hormat, tidak mempunyai pilihan selain merestui dan memperkenan WAWI sebagai MB Selangor yang baru.

Atas dasar itu jika benar laporan yang menyatakan TSKI berhasrat ingin berjumpa Sultan hatta berjumpa Sultan di luar negara bagi meminta dibubarkan Dun bagi saya tindakan itu bukan sahaja tidak sah dan tidak bertanggungjawab malahan ia suatu yang "purely nonsense" di sisi undang undang dan sistem demokrasi berparlimen wesminster yang diamalkan di negara ini.

Pertanyaan Pak Lang: 
1)  Apa akan berlaku kalau Sultan Selangor tidak bersetuju dengan mana-mana calon dari Parti Keadilan?
2)  Bagaimana kalau Sultan lebih suka MB Selangor dilantik daripada PAS?
3)  Apa sudahnya jika Sultan dan Pakatan Rakyat tidak mencapai kata sepakat tentang 
     siapa yang patut dilantik sebagai MB selain TS Khalid?
4) Jika Sultan setuju mahu menyerahkan untuk rakyat membuat keputusan dengan membubarkan DUN - apakah yang menghalang?
5) Jika Sultan tidak bersetuju dengan apa-apa jua kehendak Pakatan Rakyat - atas keperluan menjaga dan memelihara Negeri Selangor dan Sultan bertegas dengan keputusan Baginda yang tidak selari dengan kehendak Pakatan Rakyat - dalam isu pelantikan MB dan sebagainya, apakah yang Pakatan Rakyat boleh lakukan?
6)  Seorang MB tidaklah boleh sembarangan. Pakatan Rakyat memang boleh mencalonkan siapa sahaja tetapi Sultan berhak memilih siapa yang serasi 'bersama' dengan Baginda. bagaimana Pakatan Rakyat dapat memastikan calonnya diterima bekerja bersama Sultan?

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text