Social Icons

Selasa, 5 Ogos 2014

Akan Ada Harinya Kita Pasti Menangis

Ketika Saiyiduna Nabi saw melalui sebuah kawasan dengan para sahabat kelihatanlah sekumpulan manusia sedang berkumpul. Lalu Saiyiduna Nabi saw merapati mereka lantas bertanya, apakah yang sedang dilakukan. Jawapannya ialah mereka sedang menggali kubur untuk si mati. Saiyiduna Nabi saw pun mendekatkan diri sambil melutut di tempat kubur itu digali. Ternyata Baginda mula menangis. Pesan yg terbit daripada mulut Baginda saw adalah: Wahai saudara-saudaraku, untuk perkara ini, buatlah persiapan! (Riwayat Al-Bukhari)

Saiyidina Abu Bakar r.a seperti yg diriwayatkan oleh al-Bukhari  dan Muslim amat kuat menangis, hinggakan dlm solat apabila beliau menjadi imam, amat payah baginya meneruskan bacaan. Seorang yang dekat dengan Rasulullah saw seperti beliau amat memahami tuntutan ayat dan maksud di sebaliknya. Oleh itu beliau menjadi amat takut apabila membaca ayat-ayat tentang amaran daripada Allah dan peringatanNya. 

Demikian pula Saiyidina Umar al-Faruq r.a, apabila beliau menjadi imam lalu sampai pada ayat ke 86 surah Yusuf yang bermaksud: (Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanya mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya", beliau menangis hinggakan suaranya didengari oleh makmum pada saf yg terakhir. (Jangan pula kita sangka saf mereka pendek macam saf solat kita pada hari ni!)

Saiyiduna Usman bin Affan juga terkemuka dengan tabiat kuat menangis. Sebagai contohnya apabila berada di perkuburan beliau akan menangis hinggakan basah janggutnya seraya berkata yang bermaksud: “RasululLah saw bersabda yg bermaksud, Kubur adalah tempat persinggahan yang pertama daripada kehidupan akhirat, jika seseorang selamat di situ maka apa yang sesudahnya mudah baginya, sebaliknya jika di situ dia sudah tidak selamat, selepasnya akan menjadi lebih payah baginya (Riwayat Al-Tirmizi) 

Saiyiduna Abdurrahman b Auf, sahabat yang terkemuka sebagai hartawan yang unggul pernah dihidangkan untuknya makanan. Tidak semena-mena beliau menangis. Apabila ditanyakan kepadanya sebab tangisan itu, jawapan beliau adalah aku teringat akan sahabat kita Mus’ab bin Umair yang telah mati sebelum kita sebagai syahid. Dia ternyata lebih baik daripadaku. Walaupun demikian apabila dia terkorban dalam perang Uhud itu tiada kain kapan yang cukup untuk menutupinya. Apabila ditutup kepalanya kedua kakinya akan terdedah dan apabila ditutupi kakinya wajahnya akan terdedah…Aku bimbang segala nikmat dunia yang dianugerahkan ini merupakan suatu yang telah disegerakan oleh Allah untuk dunia kita…dan di akhirat kelak, kita tidak akan memperolehi lagi nikmat2 …Lalu semua yang hadir menangis bersama2 dengannya. (Riwayat Muslim)
 
Tangisan adalah disebabkan rasa bersalah dalam diri kerana dosa atau rasa takutkan Allah dengan sebenar-benar takut. Seseorang yang berdepan dengan harimau yang ganas pastilah secara otomatik akan gementar, akan pucat lesi mukanya, akan takut yang amat sangat. Jika harimau berada di depan mata kita, tanpa sempat befikir, ketakutan dan gementar akan spontan menguasai diri kita. Kita jadi kaku tidak mampu bergerak. Untuk bersuara meminta tolong juga tidak berupaya. 

Akan sampai harinya, kita akan menangis dan meraung mengenangkan nasib diri kita yang belum selamat dan cemas. Siapa pun yang tidak menangis di dunia pastilah akan merasai satu hari dia pasti menangis. Itulah keadaan hamba yang sedang dihadapkan dengan kematian. Sedikit demi sedikit nyawa yang ditarik dari seluruh juzuk tubuh adalah kesakitan yang tidak tergambarkan. Memang tidak termampu kita menanggungnya! ya Allah!!

Tidak ada yang dirasai di celah kesakitan itu melainkan tangisan merayu dan meminta Allah panjangkan umur. Meminta Allah memberi sedikit lagi peluang untuk bertaubat dan beramal dengan kebaikan sepenuhnya... Itulah hari kematian kita yang akan mempertemukan kita dengan Malaikat Izrael sipencabut nyawa kita. Kita akan melihatnya dengan gerun yang dahsyat. 

Tangisan adalah budaya hidup orang-orang soleh. Hati yang takut dengan Allah itulah pendorong mereka selalu menangis. Hati mereka sentiasa bercakap-cakap dan bersembang dengan Allah. Luahan hati itulah yang menyedihkan hati mereka. Kemesraan dengan Allah menjadikan timbul rasa bersalah, rasa tidak bersyukur, rasa melupakan Allah, rasa hebatnya diri sehingga Allah tidak ada di dalam hati. Itulah yang dikesalkan dan ditangiskan.

Hati yang tidak menangis terhadap kelemahan diri merupakan satu tanda penyakit hati sudah menimpa kita…bimbangilah jika hati kita menjadi hati yang mati yang tidak lagi mempunyai sebarang perasaan kepada Allah swt dan Rasulullah saw. Latihlah menangis kerana akan ada harinya kita pasti menangis!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text