Social Icons

Khamis, 21 Ogos 2014

DUN SELANGOR - Antara Majoriti Dan Minoriti

Bahan berikut adalah dari Blog Pak Aspan. Ianya dipaparkan sudah hampir seminggu. Cuma, Pak Lang rasa isinya relevan untuk menjadi renungan kita sekarang. Semoga ada manfaatnya.

Betulkah yang majoriti itu benar, yang minoriti itu salah?



TS Khalid Ibrahim berkata Wan Azizah perlu membuktikan yang beliau telah mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri melalui proses undi tidak percaya terhadapnya. Dakwaan Wan Azizah yang beliau mendapat sokongan seramai 30 orang dari 56 Ahli Dewan Undangan Negeri itu wajar diterjemahkan dengan undian, dan ia perlu dilakukan melalui usul tidak percaya terhadap beliau di dalam Dewan Undangan apabila Dewan bersidang pada November ini.

Sememangnya lah begitu. Buktikan dakwaan President PKR itu yang beliau mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri secara resmi dan muktamad. Tetapi sehingga usul tidak percaya itu dilakukan TS Khalid tetap Menteri Besar. Itu hanya akan boleh dilakukan setelah Tuanku Sultan kembali dari bercuti pada 23hbOgos  ini.

PAS pula akan bermesyuarat pada 17hb ini untuk menentukan pendiriannya berhubung dengan cadangan PKR untuk meletakkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar, satu isu besar bagi PAS kerana beliau adalah seorang wanita. Setakat ini PAS dilihat bersama Khalid dan tidak mahu Khalid diketepikan sehingga tamat penggal pilihanraya ini. Tidak ada isu Khalid tidak mahu berhenti, tetapi hanya selepas penggalnya tamat.

Menamakan Wan Azizah untuk menjawat jawatan Menteri Besar itu tidak mengejutkan kerana dua sebab. Pertamanya beliau adalah Presiden PKR dan keduanya beliau adalah isteri kepada Ketua Umumnya Anwar Ibrahim yang sedang bergelumang dengan isu sodomi yang telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan sedang membuat rayuan terhadap ‘verdict’ itu di Mahkamah Persekutuan.

Keduanya dengan jawatan Menteri Besar itu, Anwar yang sepatutnya menjadi calon kepada jawatan dan menggantikan Khalid itu, boleh menjadi pelonjak dan benteng politiknya untuk tidak masuk penjara dan kedudukan itu boleh memberikan peluang kepada beliau untuk mengelak dari tersekat dari bergiat politik seandainya beliau terpaksa memasuki penjara selama 5 tahun nanti.

Pendeknya beliau mahu semua dalam jemaah kepimpinannya dan ahli-ahli serta parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat itu menumpukan waktu, masa dan wang ringgit untuk membela beliau sahaja. Untuk melaksanakan hajatnya itu PKR terpaksa melupakan segala sanjungan dan pujian terhadap Khalid Ibrahim di atas keberkesanan kepimpinannya dalam kerajaan Selangor itu.

Pendeknya segala tenaga politik PKR hanya untuk menyelamatkan Anwar dan tidak ada kena mengena dengan pembangunan rakyat dan kerajaan Selangor, dan ini membuatkan Khalid serta yang bersimpati dengan beliau merasakan kerja politik ini adalah sebagai ‘thankless job’.  Jika dipandang dari sudut itu keengganan Khalid untuk berhenti itu tidak dapat dipersalahkan kerana yang baik telah menjadi buruk dalam sekelip mata dan mungkin itu jugalah PAS dan Tuanku Sultan begitu besar dan kuat ‘apprehension’ nya untuk menggantikan Khalid, lebih-lebih lagi dengan seorang wanita.

Ramai yang berfikir termasuk diri saya, masalahnya bukan masalah wanita seratus peratus. Wan Azizah akan dianggap, malahan sudah pasti akan hanya seorang Menteri Besar ‘rubber stamp’ sahaja kerana sebab yang sama-sama kita ketahui dan tidak berniat untuk menyebutnya kerana menghormati beliau sebagai seorang yang memegang jawatan Presiden, sebuah parti komponen Pakatan Rakyat. Maklumlah 'rubber stamp' boleh dibawa ke sana ke mari dalam beg eksekutif seseorang dan 'rubber stamp' itu akan dibawa ke Segambut setiap hari. Di siang hari 'rubber stamp' itu akan dibawa ke pejabat di Bangunan Sultan Aziz Sallehudin di Shah Alam.

Pendeknya perjuangan Pakatan Rakyat buat seketika ini hanyalah untuk penyelesaian isu peribadi individu sahaja dan jauh dari penyelesaian isu-isu kepentingan rakyat yang dikatakan dilalaikan oleh Barisan Nasional selama ini. Isu-isu terhadap BN selama ini hanya merupakan isu-isu untuk ‘expediency’ perjuangan peribadi seseorang itu sahaja, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Jadi, laungan mandat yang diberikan untuk Pakatan Rakyat itu sebenarnya satu perkara yang benar tetapi kenapa mandat itu diberi tidak disebut. Apakah sebenarnya sebab-sebab rakyat memberikan mandat itu? Rakyat telah memberikan mandat besar kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perubahan kerana rakyat begitu tertekan dengan sikap dan kemampuan BN mentadbir negara termasuk pentadbiran Selangor. Rakyat mahukan kepimpinan yang bersatu dan mengutamakan kepentingan rakyat dan menjauhi dari kemungkinan negeri menjadi bankrap.

Rakyat memberikan mandat bukannya untuk kepentingan peribadi seseorang individu atau kumpulan dan mereka tidak mahu mandat yang diberikan mereka itu dijadikan modal untuk kepentingan dan nafsu serakah beberapa orang tertentu sahaja. Jika apa yang berlaku hari ini disedari rakyat, mereka akan tahu yang memilih di antara Pakatan Rakyat dengan BN adalah seperti memilih diantara ‘the devil and the deep blue sea’ sahaja.

Memilih diantara BN dan Pakatan Rakyat sudah digambarkan oleh apa yang berlaku hari ini sebagai memilih diantara memelihara beruk dengan memelihara kera.. Kedua-duanya menjahanamkan tanaman dan dusun-dusun buah-buahan.

Dalam isu Selangor ini ‘it’s not about numbers in the Assembly , it’s about who is more responsible to the people’. Jika itu keadaannya tidak salah jika Raja yang memerintah mengambil tindakan yang baginda anggap boleh menyelamatkan keadaan negeri dan jajahan takluk baginda’. Apa gunanya memilih yang majoriti jika ia akan memudaratkan negeri? Kita semua telah belajar yang majoriti itu tidak semesti yang benar, kerana ia bergantung kepada keadaan dan situasi negeri dan kawasan itu?

Nabi Allah Nuh dahulu adalah dari kumpulan yang minoriti. Selama 800 tahun berdakwah Nuh alaihissalam hanya mempunyai 83 orang pengikutnya. Setengah ulama mengatakan jumlahnya hanya 81 orang. Tetapi akhirnya yang minoriti bersama Nuh itu yang benar dan majoriti itu telah membawa bala besar dan hanyut termasuk anak dan isteri baginda.

Jika Wan Azizah menjadi Menteri Besar apa yang akan kita saksikan ‘consequence’ nya. Tunggu, kita beristighfar dahulu dan sambung balik secepat yang mungkin.
KREDIT UNTUK BLOG PAK ASPAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text