Social Icons

Khamis, 21 Ogos 2014

Wahai Anakku!!! Mari Bersama Allah

Wahai anak-anakku sekalian! Marilah kita bersama Allah. Hidup bersama Allah itulah ketenangan dan kebahagian hakiki. Ketenangan dan kebahagian adalah keperluan jiwa atau roh. Ia adalah fitrah manusia.

Bagaimana untuk kita dapat bersama Allah?

Allah telah berfirman di dalam Al Quran;
“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”

Sabar adalah salah satu sifat mahmudah. Jika sabar itu ibarat sebuah kediaman, maka sabar adalah sebuah istana tempat berkumpulnya para roh bersama Tuhannya, yakni Allah.

Wahai anak-anakku! Sabar banyak peringkatnya. Sabar dalam melaksanakan perintah dan suruhan Allah adalah sabar peringkat permulaan. Mendisplinkan diri untuk menjaga dan melaksanakan segala perintah yang wajib dan memperbanyakan amalan sunat juga perlukan mujahadah. Tetapi peringkat ini lebih mudah berbanding peringkat seterusnya.

Sabar dalam meninggalkan larangan Allah samada yang lahir mahu pun yang batin adalah lebih sukar dan bertambah sulit. Ramai orang boleh bersembahyang lima waktu tetapi masih sombong, riak, ujub sumaah, ghibbah dan lain-lain lagi.

Sabar dengan ujian adalah jauh lebih susah dan lebih sulit. Orang yang taat dalam mengerjakan perintah dan menjauhi segala larangan Allah yang zahir dan batin selalu sahaja kecundang bila berhadapan dengan ujian hidup.

Inilah adalah disebabkan ujian kehidupan itu datang tidak sama bentuk, tidak serupa keadaannya dan tidak bertanda. Kadang-kadang ujian datang dalam bentuk kesusahan dan kesulitan hidup. Kadang-kadang ujian datang dalam bentuk kata nista dan caci maki orang kepada kita. Adakalanya ujian hidup itu datang dalam bentuk sakit, bencana alam dan seumpamanya. Kemuncak ujian kehidupan adalah kematian.

Wahai anak-anakku!
Sebenarnya ujian dalam kehidupan ini bukan sahaja Allah timpakan kepada orang beriman, tetapi orang yang tidak beriman juga diuji. Maka janganlah kita kecewa bila diuji, sedangkan orang yang tidak beriman dan yang tidak berjuang pun diuji juga.

Wahai anak-anakku!
Kesabaran yang telah disebutkan di atas adalah tiga peringkat asas sabar. Berjaya melepasi tiga peringkat asas itu sebenarnya baru makam mutmainnah. Belum masuk lagi makam muqarrobin apalagi makam sidiqqin.

Wahai anak-anakku!
Kesabaran Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul adalah kesabaran tertinggi dan paling mulia di sisi Allah. Lima orang di kalangan mereka digelar sebagai ulul azmi. Ketua ulul azmi ialah Baginda Rasulullah saw. Nabi Muhammad saw adalah yang paling sabar di kalangan para Nabi dan Rasul. Ertinya Baginda Rasul adalah yang paling sabar sekali di kalangan seluruh manusia!

Wahai anak-anakku!
Bagaimanakah bentuk kesabaran Rasulullah saw sehingga menjadikan Baginda adalah orang yang paling sabar di kalangan seluruh manusia?

Sabarnya Rasulullah saw tidak dapat kita gambarkan secara terperinci dan satu persatu. Mungkin apa yang kita perkatakan ini pun hanya beberapa peratus dan pecahan dari beberapa juzuk kesabaran Baginda saw.

Sabarnya Rasulullah saw ialah Baginda bersabar terhadap kerenah manusia yang menolak dan menentang kebenaran. Maknanya Rasulullah sabar bukan kerana kesusahan dan kesulitan yang menimpa dirinya.

Baginda tidak susah hati atau sakit hati segala caci maki musyrikin terhadap dirinya. Tetapi Baginda sangat sabar dalam menunggu dan ingin melihat bagaimana orang-orang kafir itu akhirnya mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah sehingga mahu beriman.

Kesabaran Rasulullah dalam berdakwah ialah sabarnya mengharapkan agar mereka mahu beriman dan tunduk patuh kepada Allah swt. Rasulullah tidak langsung tergugat dengan caci maki, kata nista bahkan segala ancaman termasuk ancaman bunuh terhadapnya.

Kesabaran dalam mendidik para sahabat sehingga menjadi ahlullah juga adalah satu kesabaran yang cukup tinggi. Inilah kesabaran yang ada pada para Nabi dan Rasul-Rasul. Mereka sabar bukan kerana kesusahan yang menimpa diri mereka, tetapi sabarnya mereka menunggu setiap orang yang didakwahnya itu sehingga beriman kepada Allah.

Ringkasnya sabar peringkat ini ialah sabar dalam memperjuangkan Allah kepada manusia. Bukan lagi sabar kerana diri sendiri atau tanpa ada kepentingan diri walau sekelumit pun! Sabar semata-mata ingin melihat orang menerima Allah sebagai Tuhan!

Sabar sebegini adalah jauh lebih sulit untuk kita miliki sehingga menjadi darah daging. Selepas para nabi dan Rasul, sabar peringkat ini hanya dianugerahkan kepada para mujaddid, mujtahid dan pemimpin tariqat pada setiap zaman.

Namun kita masih berpeluang menagih kesabaran yang hampir dengan ini. Itulah sabar dalam mencintai mereka yang teramat sabar dalam memperjuangkan Allah dan Rasul.

Sabar mencintai mereka ini juga sebenarnya sangat-sangat sulit. Bukan mudah untuk kita memiliki rasa cinta dan rindu kepada Baginda Rasul. Sekiranya telah ada sedikit perasaan itu, bukan mudah pula untuk mempertahankannya. Lagi-lagilah untuk mengekalkan perasaan itu sepanjang masa. Lagi-lagilah terlalu sulit. Ini semua memerlukan kesabaran yang cukup tinggi.

Wahai anak-anakku!
Marilah kita terus bersabar untuk mendapatkan rasa cinta dan rindu serindu-rindunya kepada baginda Nabi Muhammad saw. Hanya dengan mencintai orang yang mencintai Allah, barulah kita akan dapat menjadi orang yang terus bersama Allah. Kerana untuk memiliki rasa cinta dan rasa rindu peringkat ini, memerlukan kesabaran yang cukup tinggi. Orang yang sabar sebeginilah yang akan mendapat jaminan bahawa Allah akan bersama dengan mereka!

Marilah kita terus bersabar dalam berjuang dan berkorban demi untuk mendapatkan rasa cinta dan rindu kepada orang-orang Allah terutamanya kepada Baginda Rasulllah saw.

Allah bersama orang-orang yang sabar, maka orang yang sabar sudah tentulah bersama Allah.

Berjumpalah lagi di lain masa dan ketika. Wallahu’alam.
KREDIT UNTUK BLOG BANDARTUA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text