Social Icons

Khamis, 21 Ogos 2014

Jangan Banding PM Dengan 'Luar Biasa' Yang Ada Pada Dr M


Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik keras perdana menteri, termasuk dakwaan merosakkan ekonomi negara, persatuan peniaga Melayu hari ini tampil membelanya.

Persatuan Peniaga dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) sebaliknya berkata, Datuk Seri Najib Razak membawa kestabilan ekonomi, terutamanya kepada pengusaha Melayu.

“Malaysia kini berada di landasan yang kukuh melalui dasar berpandangan jauh terutamanya melalui pelbagai dasar diperkenalkan yang dilihat bukan sahaja telah memantapkan ekonomi negara malah meningkatkan peluang perniagaan,” kata Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir.

Mahathir, perdana menteri keempat, pada 18 Ogos lalu menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Mahathir mengkritik penggunaan wang kerajaan untuk mempengaruhi sokongan dalam pilihan raya, pengabaian industri tempatan, pertambahan cuti dan kenaikan gaji minimum.

Katanya, banyak dasar, pendekatan dan pelaksanaan kerajaan yang “merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara” yang berpunca daripada penyokong kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

Dalam kenyataannya hari ini, Izat berkata, kepimpinan Najib banyak menggalakkan inovasi, kreativiti dan meningkatkan nilai tambah terhadap semua projek perniagaan yang dijalankan.

Menurutnya lagi, dasar yang diperkenal melalui Program Trasformasi Ekonomi semakin berjaya dan akan mengukuhkan lagi ekonomi negara menjelang 2020.

“Ini terbukti apabila bagi lima bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia melonjak 10.2 peratus kepada RM597.22 bilion. Pengukuhan ekonomi ini dilihat sebagai petanda baik,” katanya.

Izat bagaimanapun dalam masa yang sama berkata, sikap tegur menegur juga perlu dilihat sebagai tindakan positif.

“Kita ada banyak ruang untuk tegur menyumbang dan membetulkan kesilapan. Jangan kita banding dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir yang memang luar biasa,” kata Izat.

Katanya, Dr Mahathir yang terkenal dengan sikap tegas dan digeruni tidak akan dapat dicari ganti atau dibandingkan dengan pemimpin lain.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text