Social Icons

Khamis, 21 Ogos 2014

Titah Sultan Selangor - Realiti Yang Perlu Diterima

Dari Blog MSO:

Tajuk: Kita semua lebih mulia daripada lembu

Kemelut politik di Selangor turut menganggu percutian Sultan Selangor ke Hungary. Percutian baginda sepatut berakhir 27 Ogos dipendekkan empat hari. Baginda dijangka akan berangkat pulang ke tanah air Sabtu 23 Ogos. Kesediaan Sultan Selangor memendekkan percutian itu menunjukkan baginda mengambil berat kepada masalah kerajaan Selangor dan rakyatnya.


Sultan Selangor 

Mulanya MB Abdul Khalid Ibrahim minta perkenan untuk terbang bagi menghadapnya di Budapest, tetapi ditolak. Sultan minta Khalid tidak menemuinya dan kunci mulut tentang Selangor sehingga baginda pulang. Khalid jadi sedikit tersendak dengan penolakan Sultan itu. Berbagai pentafsiran dibuat, mungkin Sultan sudah memahami apa yang berlaku.

Khalid akur dengan titah Sultan itu sampai enggan melayani pertanyaan wartawan dan mengelakkan apa juga spekulasi mengenai masa depan Selangor dan kedudukan dirinya.

Kenapa Sultan enggan menerima menghadap? Boleh jadi juga baginda terkejut dengan pemakluman Khalid kepadanya sebelum ini, kononnya MB bebas itu mendapat majoriti di DUN, tetapi sebaliknya.

Pengakuan 29 orang Adun yang menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail mungkin menyebabkan Sultan Selangor terpaksa membuat pertimbangan semula. Perkembangan itu benar-benar mengejutkan Khalid, dan moral politiknya jatuh jelepak.

Menjelang kepulangan Sultan untuk membuat perhitungan terakhir mengenai kedudukan di Selangor, ia disambut dengan kenyataan "unjuk rasa" oleh beberapa buah NGO yang menyokong Khalid. Mereka menyatakan pendirian mempertahankan Khalid. Tidaklah "setara mana" pembelaan NGO itu, jika diibaratkan pukat ianya pukat kecil yang carik sahaja. Hanya beberapa kerat, itu pun lebih kepada mempertahankan etnik atau pun marga sahaja.

Pembelaan itu tidak menunjukkan datang dari seluruh rakyat Selangor. Perlu disedari penduduk Selangor bukan sahaja terdiri daripada; Melayu, Bugis, Jawa atau Banjar tetapi ia juga ada India, China dan Bangla. Tidak ada pula komuniti Cina dan India yang mengambil pendirian yang sama, mempertahankan Khalid sebagai MB.

Sultan pula senantiasa menyedari bahawa sebagai Raja berpelembagaan dia menjadi payung bukan kepada Bugis dan Jawa sahaja, tetapi kepada Keling, Tionghua dan Orang Asli juga.

Seorang raja akan memberi pertimbangan yang adil dan saksama. Beliau akan mengambil kira semua pandangan dari masa ke semasa. Dalam hal ini walaupun baginda lebih merit kepada Khalid kerana Khalid masih MB, tetapi tidak sesudah berlaku perkembangan terbaru dimana kedudukannya itu kekal? Sebagai Sultan baginda akan berbuat sesuatu yang terbaik dan dapat diterima semua pihak.

Seorang raja yang bijak ada pemikiran sendiri dan membuat keputusan berdasarkan pemikiran waras selepas mendengar pandangan dan nasihat dari semua pihak.

Pandangan anak cucu cicit Datuk Mendaliar atau Patih Karma Wijaya mungkin tidak sesuai dan relevan lagi kerana ia akhirnya mencatatkan sejarah dan kenangan hitam kepada istana.

Isu MB Selangor kini akan menguji kebijaksanaan baginda sepanjang memerintah Selangor. Di sinilah akan menjadi kayu ukur atau kenangan abadi rakyat apakah baginda membuat keputusan berdasarkan akal waras atau pun pengaruh politik sempit. Jadi jangan ada sesiapa mempertikaikan apa-apa keputusan yang baginda putuskan nanti. Jadikan kata nasihat dan pertimbangannya sebagai kata pemutus.

Semisalnya baginda perkenan kepada Dr Wan Azizah menjadi MB sebagai mengganti Khalid, semua pihak hendaklah menerimanya dengan baik. Pun begitu juga kalau baginda menolaknya. Takdir baginda menunjuk nama lain, sama ada Mohamed Azmin atau salah seorang Adun Pas, juga hendaklah terima dengan baik. Membantah titah atau cadangan Sultan tidak baik dan boleh dianggap sebagai menderhaka.

Untuk beberapa jam ini jangan ada mana-mana pihak membuat spekulasi dengan tujuan mempengaruhi Sultan agar menerima kehendak masing-masing, kononnya nama itu tidak dibincang dan nama orang ini sudah ditolak sultan dan sebagainya. Spekulasi sebegitu mengeruhkan suasana dan mencerminkan "ketidak-balighan" berpolitik. Masa untuk diam dan menanti keputusan sudah tiba. Rakyat Selangor khasnya berpakatlah mendengar apakah titah oleh Sultan nanti mengenai kedudukan negeri kalian.

Kalau juga takdir baginda menerima nasihat Khlaid agar membubarkan Dun Selangor bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula, akur dan sujudlah. Kita berada dalam gelanggang demokrasi yang rencam. Keputusan politik bukan seperti keputusan menetapkan hari mula berpuasa atau hari raya Aidilfitri. Rukyah atau hisab tidak boleh dipakai dalam politik.

Sekiranya selepas ini kita terus menjadi pahat yang berbunyi selepas rumah siap, maka selamanya ketenangan tidak akan hadir dan kita akan berkecamukan sesama sendiri dan apa yang kita katakan harus menghormati keputusan adalah bohong berlaka. Kekecamukan kita bukan saja diketawa orang tetapi akan dicuri kesempatan.

Hidup ini harus ada mentara. Ada loceng yang akan memberi isyarat bila ia berbunyi kita perlu senyap. Belajarlah daripada lembu di padang ternak yang dikendalikan oleh gembala dengan loceng atau wisel dimana bila dibunyikan loceng atau wisel mereka semua bertindak melakukan apa yang sudah diajarkan kepada mereka. Bukankah kita semua lebih mulia daripada lembu. 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text