Social Icons

Isnin, 18 Ogos 2014

Mesti Baca!! Kenapa CheDet Tegur Dato' Seri Najib!!

 

          

Sedang hebuh satu dunia hal teguran Tun Dr Mahathir kepada Dato Seri Najib Tun Razak di dalam blognya - chedet. Susahlah keadaan DS Najib kalau sudah begini jadinya. Kita teringat zaman Pak Lah, bila Tun mula bersuara terang-terangan macam ini, keadaan Pak Lah jadi serba tidak kena. 

Sejak zaman Pak Lah, kita lihat bagaimana orang tidak pandai melayani Tun. Tun Dr Mahathir - sebagai negarawan, sepatutnya dijadikan mentor oleh siapa sahaja yang mahu menjadi pemimpin politik. Itulah yang Singapura lakukan terhadap Lee Kuan Yew. Sampai hari ini, pandangan dan buah fikiran LKY tetap diambil kira dan dianggap masih relevan.

Sayangnya Malaysia tidak dapat melihat betapa berharganya Tun. Tun tidak boleh dilayan secara lebih kurang kerana beliau - terbukti masih relevan untuk kelangsungan kejayaan Malaysia. Meletakkan Tun sebagai pengerusi apa sahaja tidaklah ada maknanya jika Tun rasa beliau tidak dihargai secara praktisnya. Inilah rahsia psikologi yang cuba untuk tidak difahami oleh kebanyakan pemimpin.

Ketika DS Najib mula-mula mengambil alih tampuk pentadbiran negara, kita terharu melihat sanjungan dan penghormatan DS Najib terhadap Tun. Memangnya itulah yang sepatutnya. Tetapi sebagaimana yang dinyatakan di atas, Tun sangat cekap membaca bahasa dan tindak-tanduk politik. Tun suka berterus terang. Tun tidak suka orang 'main politik' dengannya. 

Bukankah Tun adalah mahaguru semua ilmu politik khususnya dalam iklim Malaysia, Asia bahkan dunia sekalipun. Banyaknya pengalaman Tun, luasnya pengaruh Tun, kita boleh menfaatkan untuk melonjakkan negara ini menghadapi apa jua cabaran.

Soal orang yang tidak suka Tun, itu soal lain. Kita jangan terikut dengan silat tari orang lain. Kita perlu ada pendirian tersendiri dan khusus terhadap Tun. Kita tidak boleh biarkan Tun menjadi seperti 'Quran lama'.  Kita bahkan wajar dan patut 'manfaatkan' sepenuhnya hayat Tun yang berbaki. Ilmu dan pengalamannya terbukti berupaya membawa negara kita sampai ke tahap ini. Malaysia dikagumi dunia khususnya dunia Islam. Malaysia menjadi penanda aras mana-mana negara membangun yang mahu meletakkan nama negara mereka di persada dunia. 

Tulisan ini bukan pula bermaksud meminta Tun kembali menjadi PM. Tun sendiri pun tidak mahu. Apa yang patut kita buat ialah meletakkan negarawan ulung kita di tempat yang wajar. Dunia luar tidak putus-putus menjemput Tun untuk memberikan pandangan dan buah fikiran sedangkan di negara sendiri, Tun tidak dihargai sewajarnya!! Hakikatnya Tun sendiri sangat mahu dipergunakan untuk pastikan negara tercinta ini terus memecut ke hadapan.

Apa yang berlaku selama ini, kita dapati Tun dikesampingkan. Pandangan Tun tidak diambil perhatian atau Tun tidak ditanya pandangannya sebelum berbuat sesuatu. Tentunya Tun banyak terasa hati. Dari satu sudut, kita boleh kata "Tun tidak boleh masuk campur kerana Tun sudah bersara. Biarlah pemimpin sekarang buat kerja mereka." 

Orang yang ada hati dan perasaan akan faham apa perasaan Tun. Ada banyak perkara yang membimbangkan malah menimbulkan kemarahan Tun. Secara peribadi - atas hak sebagai rakyat yang cintakan agama, bangsa dan tanahair, lambat laun Tun pasti bersuara. 

Sebenarnya apa pun yang ingin kita laksanakan, ianya tergolong dalam pelbagai status. Samada ianya hal rahsia atau sulit atau hal yang penting atau hal pentadbiran dan sebagainya, semuanya tertakluk kepada  bagaimana cara kita menanggapinya. 

Jadi, ada hal biasa yang kita tidak perlu bertanyakan Tun seperti soal-soal pentadbiran dan teknikal. Tetapi jika hal tersebut dalam status penting dan rahsia, eloklah diminta pandangan Tun terlebih dahulu. Jika Tun sudah memberi pandangan, sekurang-kurangnya maklumat yang ada sudah jadi lengkap. Terpulang kepada kita dalam bertindak. Kita tidak mesti terikat dengan pandangan Tun tetapi mendengar buah fikirannya adalah suatu yang terpuji.

Tun seorang yang sangat peka dan faham persekitaran - apa yang sedang berlaku di dunia dan mampu melihat jauh ke hadapan: apa dan bagaimana yang bakal terjadi. Jika kita mendapatkan pandangan Tun, ertinya kita sudah mempunyai persepsi yang lebih tepat dalam menanggapi sesuatu isu atau apa sahaja. Ianya mengelak untuk kita lakukan kesilapan.

Sebenarnya kalau seseorang pemimpin itu bijak, dia mampu menonjolkan dirinya dengan menghargai Tun. Dirinya tidak akan tenggelam dengan menonjolkan Tun. Dulu, kaedah ini selalu Tun lakukan dan pesankan iaitu 'jika kita mahu berjaya, bantu orang lain untuk berjaya' dan 'jika kita mahu terkenal, bantu orang lain jadi terkenal.' 

Ingatkah ketika Tun berjaya membawa masuk Dato' Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO, semua orang kagum dengan Tun. Kalau Anwar Ibrahim itu hebat, Tun Dr Mahathir lebih-lebih lagi hebat. Hanya manusia yang tidak yakin dengan diri sahaja yang tidak mahu melakukan kaedah cemerlang ini. Sekarang yang kerap melaungkan kaedah ini ialah Dr Azizan Osman - Presiden Richworks Internasional.

Dari satu sudut, ramai bimbang dengan imej Tun yang kononnya dibenci orang. Sebenarnya ahli UMNO di peringkat akar umbi dan sebahagian besar rakyat Malaysia masih terus mengkagumi Tun. Bagi mereka Tun tetap terbaik. Malangnya imej Tun yang dikatakan negatif inilah yang ditakuti sebahagian pemimpin UMNO. 

Hasilnya mereka takut menampakkan mereka hampir dengan Tun. Mereka bimbang imej Tun yang 'tercalar' itu terjangkit pada diri mereka. Dengan kata lain, mereka tidak mahu dibayangi Tun. Sebenarnya mereka tersilap dalam memahami situasi.

Yang mengutuk Tun ialah pembangkang - itu pun tidak semua. Ada juga penyokong parti-parti pembangkang yang lebih rasional. Mereka menerima Tun sebagai seorang yang amat berjasa kepada negara. Mereka tidak membenci Tun membuta tuli. 

Anehnya di dalam UMNO, setiap tokoh pimpinan UMNO yang sudah tidak berjawatan dianggap 'hampas'. Mereka dipinggirkan dan dibiarkan. Yang dipuja dan disanjung ialah pemimpin yang baru naik. Kalau pun ada sebarang penghargaan atau penghormatan untuk pemimpin lama, biasanya ia dibuat dengan tujuan tidak ikhlas. Hasilnya dapat dirasai - mereka hanya berbasa-basi. Ianya tidak dari hati yang menghargai. Semua orang lama dalam UMNO sangat faham bahasa 'pura-pura' di dalam politik yang sebegini. 

Tun Mahathir tidak suka berbasa-basi. Secara peribadi Tun tidaklah mahu campur tangan urusan kerajaan dan negara. Sebagai ketua negara selama 22 tahun, Tun tahu dan sedar batasan untuk dirinya. Tun juga faham, hak seseorang Perdana Menteri membuat keputusan tanpa mengambil kira pandangannya sekalipun.

Soalnya kenapa Tun menegur Dato' Seri Najib secara terbuka sekarang?

Umum melihat Dato Seri Najib seorang yang peka dalam menghargai orang lain terutama Tun Dr Mahathir.  Tun Dr Mahathir di hati Dato' Seri Najib ialah seorang 'ayah', 'pemimpin'. guru dan 'mentor - sifu' beliau. Watak seorang pemimpin yang sangat mahu mendekati rakyat dan tokoh-tokoh yang pernah berjasa kepada perjuangan UMNO dan negara, ada di dalam diri dan hati Dato' Seri Najib. Menghadiri kenduri kendara, menziarahi sakit demam, kematian dan sebagainya - yang berlaku pada semua pihak terutama veteren UMNO bahkan pemimpin pembangkang menjadi keutamaan Dato' Seri Najib.

Apa yang menarik, sejak mula masuk politik pada tahun 1976, Dato' Seri Najib sudah bersama Tun Dr Mahathir yang waktu itu baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila Tun menjadi Perdana Menteri pada 10 Julai 1981, Dato Seri Najib diminta bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri yang akhirnya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berusia 29 tahun. 

Kedudukan politik Dato' Seri Najib tidak pernah surut sehingga menjadi Perdana Menteri. Jangkamasa 48 tahun Dato Seri Najib mengharungi ranjau politik - sebahagian besarnya bersama Tun Dr Mahathir adalah suatu yang signifikan.

Dari satu sudut, Tun juga sangat ingat jasa almarhum ayahanda Dato Seri Najib, Tun Abdul Razak yang membawa semula Tun ke dalam UMNO (7 Mac 1972) setelah dipecat Tunku Abdul Rahman pada September 1969.

Kemasukan semula Tun - dengan jasa Tun Razak menjadi titik mula bintang cemerlang Tun Dr Mahathir untuk bersinar. Tun sangat menghargai jasa ayahanda Dato Seri Najib ini. Bahkan sepanjang Tun menjadi Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mendapat tempat di pelbagai kerusi kabinet tanpa noktah!! Ranjau politik yang diharungi sepanjang bersama Tun, sudah terlalu banyak dapat dipelajari.

Kita lihat, secara peribadi Dato Seri Najib benar-benar menghargai Tun. Jika ditanya Dato Seri Najib, jawapannya pasti positif terhadap Tun. Tetapi dalam masa yang sama, ada pihak yang tidak senang dengan Tun. Dan malang sekali jika kelompok yang tidak sukakan Tun ini ada di sekeliling Dato' Seri Najib. Ini semua adalah lumrah dalam politik. 

Apa pun, kita kena akui, tidak semua pemimpin mempunyai kapasiti seumpama Tun. Dari segi umur dan pengalaman pun Tun jauh lebih hebat. Tun sezaman dengan Tunku Abdul Rahman - Perdana Menteri Pertama! Kita boleh mengatakan Tun boleh menjadi tempat rujuk dalam menangani sebarang masalah yang negara kita hadapi. 

Apa yang patut kita lakukan ialah belajar dan terus belajar bagaimana menanganinya. Belajarlah dengan Tun walaupun dalam masa sama, ramai penasihat dan konsultan sedang berusaha 'memberi nasihat' kepada Perdana Menteri.

Hari ini bila tersebar teguran keras Tun terhadap Dato Seri Najib, orang faham ada mesej yang mahu disampaikan Tun. Jika kita membacanya, itu semua adalah apa yang tersurat. Percayalah ada banyak hal yang tersirat di sebalik ayat-ayat yang Tun catatkan di blognya itu. Maka yang tersirat itulah yang lebih utama untuk dicari dan dikaji!!

Pak Lang faham, mereka yang sedang meluat dengan Tun, rasa geli membaca tulisan ini. Apa boleh buat! Kita tidak boleh gembirakan semua orang dalam setiap masa. Pak Lang menulis apa yang Pak Lang faham dan apa yang sesuai untuk dibaca oleh generasi muda yang sedang belajar memahami situasi politik negara. Terserah setiap yang membaca untuk mentafsirkannya. Lagi pun, atas sebab-sebab tertentu, tidak semua yang kita tahu, sesuai untuk ditulis...

Jadi, cukuplah setakat ini dahulu. Ada masa kita sambung....

9 ulasan:

  1. Malaysia emerges as Southeast Asia’s weak spot | South China Morning Post - http://m.scmp.com/business/economy/article/1660289/malaysia-emerges-southeast-asias-weak-spot

    BalasPadam
  2. Ramai manusia yang sanggup berpura-pura demi wang ringgit,menjaga pangkat,demi kepentingan peribadi,sanggup menggadai kebenaran demi menutup dusta meskipon kedustaan itu sudah terang-terang di depan mata.

    Ingat TM ingatlah kawan kepada semua jasa2 pembangunan yang telah dibawanya.
    1.Lebuhraya Utara Selatan
    2.Proton Saga dan legasi Protonnya
    3.Jambatan Pulau Pinang
    3.KLCC
    4.KL Tower
    5.KL Sentral
    6.Putrajaya
    7.Cyberjaya
    8.KLIA
    9.Sepang F1 Circuit

    Semua itu mercu tanda besar yang ada di Malaysia kini,

    zaman Najib..kawan tak tahu..BR1M..??

    BalasPadam
  3. Tulisan ini dipaparkan sebelum Tun bongkarkan persoalan IMDB dan lain-lain isu. Sekarang, semua yang Tun simpan sudah dimuntahkan di merata media. Keadaan sudah jadi kacau bilau. Tun tidak akan surut dan tidak ada satu apa pun di dunia ini yang mampu menghalang Tun kecuali kuasa Allah. DS Najib perlu ada kekuatan untuk menyelamatkan keadaan. Tun sedang 'menjolok buah yang bergayutan'. DS Najib perlu membuat pilihan. Jika DS Najib negarawan ulung, pasti akan ada tindakannya yang menguntungkan agama, bangsa dan negara.

    BalasPadam
  4. Bagus Pak Lang, tapi apa boleh buat, melayu mudah lupa. Apakah ini akan menjadi tradisi dan ikutan untuk anak muda contohi pula pada masa hadapan. Saya berharap PM. DS Najib dapat berubah segera sementara masa masih lagi memihak kepada kita. Hidup Melayu, gagahkan di Nusantara.

    BalasPadam
  5. Good sharing.Sedih melihat Malaysia yang dibangunkan Tun jadi begini. Kl kt pon sedih, apatah lagi Tun sendiri....semoga Allah bantu kt

    BalasPadam
  6. Setuju, apa salah nya Mahathir dilantik penasihat kerajaan. Telah terbukti zaman beliau ekonomi begitu kukuh, memang betul apa yg Mahathir cakap, dia silap memilih penggantinya,,,akhirnya politik makin gawat, RM jatuh, ISA dimansuhkan,orang semakin kurang ajar, tidak sensitif dgn isu bangsa & agama..akhirnya melayu semakin lemah..

    BalasPadam
  7. Percaya dan fahamilah segala teguran yang diberikan oleh tun ada kebenarannya perbaikilah kesalahan yang telah berlaku jangan nanti apabila telah terlajak perahu barulah menyesal tidak berpenghujung.dan yang paling parah apabila rakyat akan menjadi marah serta membenci dengan apa yang datuk N lakukan pada masa ini.TUN DR,MAHATHIR adalah negarawan unggul.terima lah apa pandangannya.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text