8 Julai – Pengisytiharan Khilafah Islamiyah dan pelantikan khalifah baharu selepas kejatuhan Khilafah Islamiyah Turki 1924 yang diumumkan oleh kumpulan militan ISIL di Iraq minggu lalu tiada nilai di sisi syarak dan tidak realistik.
Dalam kenyataan Kesatuan Ulama Sedunia bertarikh 3 Julai, ketuanya Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi berkata, pengisytiharan yang dibuat itu terbatal dari sudut syarak dan umat Islam tidak perlu berbaiah dengan khalifah tersebut.
Ujarnya, semua umat Islam berhajat kepada sistem khalifah seperti yang ditunjukkan oleh sejarah Islam yang agung. Namun, projek besar itu memerlukan usaha berlipat kali ganda yang melibatkan seluruh umat Islam dan satu persediaan yang besar-besaran perlu dilakukan.
Kewujudan sistem khilafah yang memerintah sesebuah negara dengan hukum Islam, yang memiliki kekuatan ketenteraan, ekonomi dan modal insan sememangnya diharapkan. Dengan adanya khalifah, musuh agama dapat diperangi, segala masalah dalaman negara dapat diselesaikan dan Islam didaulatkan. Tiada siapa dapat menafikan kepentingan kewujudan sistem khilafah.
Khalifah, selaku ketua bertanggungjawab menjadi wakil kepada seluruh umat Islam dalam menguruskan urusan dunia dan akhirat. Tidak logik penyerahan urusan ini dilakukan hanya dengan satu pengisytiharan. Ia wajib dilakukan oleh umat Islam keseluruhannya atau diwakilkan kepada ‘ahli hill wal aqd’ bagi pihak semua orang.
Konsep syura merupakan konsep utama yang wajib digunapakai dalam sistem pemerintahan Islam. Pelantikan khalifah selepas kewafatan baginda SAW juga melalui konsep syura. Akan tetapi dalam isu khilafah ISIL, konsep syura dilupakan sama sekali.
Oleh itu, Al-Qaradawi mengingatkan semua pihak terutamanya ISIL agar memahami konsep khalifah yang sebenar agar ia benar-benar menepati syarak dan tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada umat Islam.
TIADA BAIAH, TIADA TAAT
Gerakan Ikhwan Muslimin Syria dalam kenyataannya bertarikh 5 Julai berkata, khilafah yang diisytiharkan oleh ISIL bukanlah khilafah yang betul. Oleh itu tiada baiah dan tiada ketaatan perlu diberikan kepada ISIL.
Sistem khilafah menunjukkan wujudnya hubungan antara khalifah yang dilantik dan umat Islam seluruh dunia. Sebaliknya, khalifah yang diumumkan tidak pun dikenali ramai dan mustahil khalifah dapat menunaikan kewajibannya terhadap kaum muslimin.
Ikhwan Muslimin Syria menyeru umat Islam di Syria dan Iraq agar menjadi umat yang sedar hakikat sebenar apa yang berlaku dan tidak mudah tertipu dengan dakwaan kumpulan ISIL.
RAKAMAN DRAMA BERDARAH
Seorang ulama terkemuka, Dr Ahmad Ar-Raissouni berkata, hakikat apa yang berlaku di Iraq merupakan rakaman siri-siri drama semata-mata yang tidak membawa sebarang makna, namun apa yang menyedihkan ialah drama itu adalah drama berdarah terhadap umat Islam.
Tambahnya, pengisytiharan khilafah itu merupakan perkara khurafat yang bercanggah dengan Islam.
“Baiah dilakukan oleh orang ramai yang tidak diketahui siapa ke atas seorang khalifah yang tidak diketahui siapa. Saidina Umar telah berkata seperti yang diriwayatkan oleh Sohih Bukhari, ‘Barang siapa yang membaiah seorang lelaki tanpa melalui proses syura, maka lelaki itu tidak perlu ditaati, dan lelaki yang membaiah juga tidak perlu diikuti, kerana dikhuatiri kedua mereka akan dibunuh’,” kata Dr Raissouni di laman webnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan